Melaka: Kira-kira 80 peratus daripada 70 unit MyKiosk yang diperuntukkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah diisi oleh peniaga.
Datuk Bandar Melaka Datuk Shadan Othman berkata, proses pemilihan peniaga untuk baki unit MyKiosk yang belum diisi dijangka selesai sebulan lagi dengan beberapa syarat perlu dipenuhi pemohon.
Beliau berkata, MyKiosk di bawah MBMB ditempatkan di beberapa kawasan strategik antaranya di Duyong, Telok Mas, Krubong dan Klebang.
“MyKiosk mendapat permintaan baik dan kita mahu memastikan unit berkenaan diberikan kepada peniaga yang tulen serta benar-benar layak.
“Kita tidak mahu peniaga yang mendapat kios ini memberi atau menyewakan pula kepada orang lain untuk mendapat keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Inisiatif Tanpa Tunai MBMB di Banda Hilir di sini hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semalam menegaskan projek MyKiosk bukan projek ‘gajah putih’ seperti didakwa pembangkang kerana majoriti kios itu telah diisi.
Projek MyKiosk adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa pada kadar sewa rendah.
Sehingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk diluluskan di 133 PBT di seluruh negara, membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan mereka.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, peniaga dan penjaja kecil di sekitar kawasan pentadbiran MBMB khususnya di Banda Hilir digalakkan menggunakan transaksi pembayaran tanpa tunai bagi memudahkan urusan perniagaan sekali gus menjamin keselamatan.
Shadan berkata, sehingga kini lebih 500 peniaga termasuk pengayuh beca dan peniaga di Uptown Pahlawan Walk telah mengguna pakai kaedah transaksi berkenaan.
“Dengan menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai, aliran kewangan mereka lebih sempurna kerana mempunyai rekod transaksi sekali gus memudahkan untuk membuat pinjaman bank bagi mengembangkan perniagaan pada masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




