surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan perlu segera merangka pelan kontingensi termasuk meneroka alternatif import dari negara pengeluar lain sekiranya berlaku gangguan bekalan beras dari India dan Pakistan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Dr T Saravanan berkata, sebagai negara yang masih bergantung kepada bekalan beras import dari kedua-dua negara itu, langkah kesiapsiagaan harus segera diambil oleh kerajaan.
“Walaupun Fomca berpandangan adalah terlalu awal untuk membuat andaian bahawa konflik antara India dan Pakistan akan memberi impak langsung kepada bekalan beras di Malaysia, namun isu ini patut menjadi langkah awal untuk kerajaan bersedia.
“Kebimbangan utama bukan sahaja membabitkan pengguna domestik, tetapi juga sektor perniagaan makanan seperti restoran dan pengusaha makanan yang biasanya menjadi pembeli utama dalam kuantiti besar.
“Oleh itu, pemantauan berterusan terhadap stok, harga dan corak permintaan perlu dilakukan agar tidak berlaku sebarang kekurangan atau ketidakseimbangan pasaran,” katanya kepada Metro Ahad hari ini.
Saravanan berkata, bagaimanapun Fomca juga menyeru pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik yang hanya akan memburukkan keadaan.
“Malaysia memiliki simpanan stok beras negara yang seharusnya mencukupi sekiranya pengguna kekal bertenang dan tidak melakukan pembelian luar biasa atau menyembunyikan barangan.
“Kerjasama antara pihak berkuasa, pengimport, peniaga dan pengguna amat penting dalam memastikan kestabilan bekalan dan harga beras dalam negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Dr Ahmad Hariza Hashim berkata, tiada keperluan untuk pengguna melakukan pembelian panik kerana ia akan menyebabkan harga bekalan beras terganggu dan ada pihak mengambil kesempatan untuk menyorok beras bagi mendapatkan harga lebih tinggi.
“Bekalan beras tempatan akan mencukupi berikutan stok beras tempatan juga diimport dari Vietnam, Thailand, dan Kemboja masih stabil.
“Malah, saya berpendapat tiada isu bekalan di pasaran global setakat ini berikutan tiada sekatan eksport beras dari India yang juga pengeksport terbesar dunia dan boleh mencetuskan krisis harga,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengesahkan konflik bersenjata antara India dan Pakistan boleh menjejaskan bekalan beras negara memandangkan kedua-duanya adalah antara pengeksport utama ke Malaysia.
Ketika ini, Malaysia bergantung hampir 38 peratus beras putih dan basmati bagi kegunaan rakyat negara ini daripada India dan Pakistan.
Isnin lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa India dan Pakistan supaya tidak mencetuskan konflik ketenteraan susulan ketegangan yang terus memuncak di Asia Selatan.
Kedua-dua negara jiran itu kini menempatkan angkatan tentera masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga selepas saling menuding jari berhubung serangan pengganas baru-baru ini di Kashmir yang ditadbir India.
© New Straits Times Press (M) Bhd




