am@hmetro.com.my
Serdang: Transformasi industri teksi negara menggunakan kenderaan elektrik (EV) yang yang dijangka dilaksanakan penghujung Mei ini bakal mengangkat imej 3,000 pemandu ke arah lebih profesional, segak dan bergaya seperti diperkenalkan di negara luar.
Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd (Big Blue), Shamsubahrin Ismail berkata, transformasi ini adalah sebagai langkah pemodenan industri teksi negara dan hasrat memperkenalkan EV dalam perkhidmatan syarikat itu telah wujud sejak lebih dua dekad.
Menurutnya, pelaksanaan itu tertangguh disebabkan pelbagai kekangan termasuk ketiadaan kenderaan EV pandu sebelah kanan yang disediakan oleh pihak pengeluar kenderaan.
Bagaimanapun katanya, halangan itu kini berjaya diatasi hasil kerjasama strategik bersama syarikat pengeluar kenderaan EV terkenal China, Chery.
“Pelaksanaan fasa pertama program ini menyasarkan 30,000 kenderaan EV, dengan 20,000 daripadanya membabitkan teksi eksklusif (biru) dan 10,000 untuk perkhidmatan teksi biasa (merah),”katanya ketika ditemui pada Malaysia Autoshow 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.
Shamsubahrin berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan memperkenalkan 20,000 unit teksi EV eksklusif dengan pertambahan antara 600 hingga 700 kenderaan setiap bulan.
Menurutnya, sasaran penuh bagi perkhidmatan teksi biasa juga adalah sebanyak 20,000 unit atau sekurang-kurangnya 10,000 unit.
Katanya, bagi tujuan itu pihaknya akan menyediakan kenderaan tujuh tempat duduk keluaran Chery yang dijana petrol dan elektrik.
“Kenderaan ini bukan sahaja dapat menjimatkan tenaga, malah dilengkapi pelbagai peranti moden termasuk aplikasi tempahan, Sistem Pengesanan Global (GPS), sistem hiburan, rakaman kamera dalam kabin serta ciri keselamatan tambahan,” katanya.
Sementara itu,Pengarah Big Blue Holdings,Abd Karim Kassim berkata, bagi menggalakkan penyertaan daripada pemandu teksi, pihaknya menjalin kerjasama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menyediakan kemudahan pembiayaan modal permulaan sebanyak RM20,000.
Katanya, bagi kaedah pengecasan pula, pihaknya akan memperkenalkan sistem langganan bulanan tanpa had, bagi memberi kemudahan kepada pemandu dari segi kos operasi harian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




