Zafrul sah Presiden BAM

Zafrul sah Presiden BAM

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sah dilantik sebagai Presiden ke-13 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 badan induk itu yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Pelantikan beliau diumumkan secara rasmi selepas menerima sokongan sebulat suara daripada semua ahli majlis, sekali gus menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melepaskan jawatan selepas hampir sedekad menerajui BAM.

Tengku Zafrul yang juga ahli politik, ahli Dewan Negara, pelabur serta tokoh korporat terkemuka negara, menyifatkan pelantikan ini sebagai satu penghormatan besar dan amanah yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

“Saya terlebih dahulu ingin menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas pelantikan ini, dan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Majlis BAM atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada saya untuk memimpin BAM sebagai presiden baharu.

“Ia satu penghormatan besar dan amanah yang saya galas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dan komitmen. Saya percaya dengan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan, kita mampu memperkasa BAM sebagai badan sukan contoh, bukan saja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tengku Zafrul turut mengucapkan penghargaan kepada Pemangku Presiden Datuk V Subramaniam serta mantan presiden, Norza atas sumbangan tidak ternilai mereka kepada pembangunan badminton negara.

“Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Subramaniam atas pelantikan semula beliau sebagai Timbalan Presiden 1 dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos Janarthanan sebagai Timbalan Presiden 2. Bukan mudah untuk membawa BAM ke tahap sekarang, namun kehadiran ramai tokoh berwibawa hari ini memberi gambaran jelas bahawa kita semua berkongsi visi yang sama untuk melihat badminton Malaysia cemerlang di persada dunia,” katanya.

Beliau juga memohon diberikan tempoh 100 hari untuk mendengar, memahami dan meneliti secara menyeluruh setiap isu yang dihadapi sebelum mengumumkan pelan tindakan strategik bagi membawa BAM ke era baharu.

“Berikan saya 100 hari untuk bertemu semua pihak berkepentingan seperti pemain, jurulatih dan pegawai bagi mengadakan sesi libat urus menyeluruh. Saya perlukan masa untuk memahami dan meneliti dengan mendalam isu-isu yang dihadapi.

“Saya percaya, kunci kepada perancangan jangka panjang yang berjaya ialah pelan yang komprehensif dan realistik. Selepas 100 hari, insya-Allah saya akan bentangkan visi strategik serta pelan tindakan untuk BAM kerana setiap badan sukan memerlukan hala tuju yang jelas,” katanya.

Tengku Zafrul turut menyeru sokongan padu daripada semua pihak termasuk kerajaan, agensi berkaitan, ibu bapa, komuniti badminton serta rakan media supaya terus menyokong kepimpinan baharu BAM.

“Saya amat yakin semangat kerjasama dan iltizam tinggi dalam kalangan semua pihak akan membantu kita menangani cabaran demi kemajuan badminton negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top