saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Terdapat sekurang-kurangnya empat kes cubaan penukaran status tanah wakaf termasuk yang terbaru membabitkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Perak.
Berdasarkan kes terbaru di Perak, tanah berkenaan dijual kepada pihak ketiga dan pihak pengurusan masjid melancarkan tabung sumbangan untuk menebus semula tanah itu bernilai RM1.8 juta.
Hanya dalam tempoh kurang daripada 36 jam, pengurusan masjid itu berjaya mengumpul dana hampir RM2 juta, sekali gus menebus kembali tanah wakaf itu yang sudah dimiliki individu bukan Islam.
Dalam kes lain yang berlaku pada 2017, seorang ahli perniagaan direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dalam proses penjualan tanah wakaf sebuah masjid di Melaka.
Penjualan tanah wakaf itu dikatakan membabitkan pemberian rasuah kepada pihak tertentu untuk melancarkan proses jual beli.
Bagi kes di Pulau Pinang pada 2015, pewaris tanah wakaf cuba untuk membatalkan status wakaf tanah yang sudah diwakafkan untuk pembinaan masjid.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan berkenaan dan mengekalkan status tanah sebagai wakaf berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
Kes hampir sama berlaku pada 2010 di Pulau Pinang apabila berlaku pertikaian berhubung penjualan tanah wakaf oleh pemegang amanah kepada pihak ketiga.
Mahkamah memutuskan bahawa tanah wakaf tidak boleh dijual dan mengekalkan status tanah berkenaan sebagai wakaf.
© New Straits Times Press (M) Bhd




