am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 4,064 unit cecair dan peranti vape bernilai RM284,000 di sebuah premis di Jalan Raja Perempuan Zainab di sini, semalam.
Rampasan menerusi Op Taring Wawasan itu dilakukan jam 5.15 petang. Turut ditahan, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika pemeriksaan, lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung barangan berkenaan.
“Sebanyak 4,064 unit cecair dan peranti vape ditemukan di dalam premis berkenaan dan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM284,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.
“Hasil rampasan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Dalam rampasan di lokasi berlainan, Nik Ros Azhan, berkata pihaknya merampas 700 kilogram (kg) beras dan 50 kg beras pulut yang diseludup dari Thailand di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, kelmarin.
Katanya, rampasan dilakukan selepas sebuah kereta yang dipandu suspek dengan muatan beras berkenaan terbabas ketika cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan terbabit.
‘Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd