2 kapal pindah diesel tengah laut kena serbu, rampasan lebih RM13 juta

2 kapal pindah diesel tengah laut kena serbu, rampasan lebih RM13 juta

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua kapal dan merampas diesel bersubsidi bernilai keseluruhan RM13.29 juta, semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, kedua-dua kapal itu dikesan ketika berada di kawasan perairan daerah ini.

Katanya, pasukan operasi turut menahan 11 warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang berada dalam kapal itu.

“Kedua-dua kapal dikesan ketika sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara tidak sah dan hasilnya, pasukan operasi berjaya merampas 78,500 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini

Menurutnya, operasi itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), malah pihaknya akan terus berkolaborasi dengan agensi lain untuk membanteras penyeludupan barang kawalan.

Katanya, sejak Januari lalu hingga kini, 80 kes sudah diambil tindakan di seluruh Wilayah 4 Sabah, yang membabitkan rampasan keseluruhan melebihi RM28.61 juta dan 107 tahanan.

“Operasi antara agensi terutamanya bersama dengan KPDN ini juga membantu dalam mempermudahkan proses risikan dan juga tangkapan dalam setiap operasi yang dilaksanakan.

“Tumpuan (operasi) diberikan kepada daerah Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau yang sememangnya berada berhampiran dengan negara jiran,” katanya yang mengalu-alukan maklumat orang ramai dalam membanteras jenayah dan meminta menyalurkannya ke Bilik Gerakan di talian 088-454820 atau Facebook PPM Wilayah 4 Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top