Penyanyi Roziana Cindy meneruskan langkah seninya dengan mempersembahkan single terbaharu berjudul Tinggalkan Luka, selepas kejayaan single Paling Sejati yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu.
Dengan hampir 150,000 penstriman di Spotify dan lebih 300,000 tontonan di YouTube bagi Paling Sejati, kemunculan Tinggalkan Luka diyakini mampu mengukuhkan lagi kedudukannya dalam dunia muzik serantau.
Menariknya, lagu terbaharu ini merupakan hasil kerjasama istimewa bersama komposer terkenal dari Indonesia, Ilham Baso yang merupakan individu di sebalik lagu-lagu popular seperti Bukan Dia Tapi Aku dan Menjaga Jodoh Orang Lain.
“Tinggalkan Luka mengingatkan kita untuk melepaskan kesakitan yang pernah melingkari kita, dan tidak membenarkan ia mendefinisikan siapa kita.
“Saya sangat berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan Ilham, yang bakat dan empatinya membawa lagu ini menjadi sesuatu yang begitu bermakna,” ujar Roziana yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif lagu tersebut.
Dengan melodi yang lembut dan susunan muzik yang menyentuh perasaan, lagu ini membawakan tema tentang kehilangan, keberanian dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan. Vokal Roziana pula tampil dengan lebih tulus dan rapuh, menyampaikan penghayatan mendalam yang pasti menyentuh hati pendengar.

Ilham Baso, yang dikenali dengan kemampuannya menzahirkan emosi melalui gubahan lagu, turut berkongsi keterujaan terhadap kolaborasi ini.
“Roziana mempunyai suara yang membawa keanggunan dan kebenaran. Kolaborasi dalam ‘Tinggalkan Luka’ membolehkan kami menyampaikan pengalaman universal tentang kehilangan dan penyembuhan. Saya percaya ramai akan merasa terhubung melalui lagu ini,” katanya.
Pelancaran rasmi lagu ini pada 25 April 2025 memperlihatkan kematangan Roziana sebagai penyanyi yang mampu menyampaikan kisah-kisah kehidupan dengan penuh emosi dan ketulusan.
“Tinggalkan Luka” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer.




