ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gandingan beregu sepak takraw negara berjaya menempah slot ke separuh akhir selepas menumpaskan Taiwan 2-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.
Pasangan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Zawawi pada mulanya tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 15-11 di set pertama ke atas Chan Ming Lung-Chung Ching Lin.
Bagaimanapun, masing-masing membuat pertukaran killer untuk aksi seterusnya dengan Noraizat dikeluarkan bagi memberi peluang Redwan Hakim Muhammad beraksi buat kali pertama, manakala Taiwan pula mengeluarkan Ching Lin dan memasukkan Tao Ping Yeh.
Strategi itu menjadi buat pasukan lawan dan gandingan negara pula bergelut sehingga memaksa Noraizat di masukkan kembali pada hujung saingan sebelum mereka mencatat kemenangan 17-14.
Malaysia yang tumpas kepada Thailand 0-2 semalam muncul naib juara Kumpulan B dan bakal berdepan India di separuh akhir selaku juara Kumpulan A esok untuk memburu tiket ke final.
Sementara itu, jurulatih negara, Aswadi Abdullah, berharap barisan pemain melakukan persiapan terbaik menjelang aksi separuh akhir menentang India.
“Kalau ikutkan, kita tahu India buat kejutan apabila menewaskan Indonesia dan Brunei di peringkat kumpulan. Dari segi pertemuan sebelum ini, kita ada sedikit kelebihan. Dari sudut servis, Noraizat menunjukkan peningkatan, tetapi Aidil masih belum stabil sepenuhnya.
“Setiap perlawanan berbeza tahap ketahanan fizikal dan mental, cuma harapan kami di barisan kejurulatihan adalah untuk melihat prestasi sebenar Aizat dan Aidil esok.
“Dari segi keyakinan pemain, saya lihat ia semakin meningkat. Harapan kami esok adalah mereka buat sehabis baik. Nak atau tak nak, kita wajib menang untuk tempah tiket ke final,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




