Usahawan selebriti sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mengakui dirinya kini trauma untuk memberikan pinjaman wang kepada sesiapa selepas berdepan pelbagai pengalaman ditipu sehingga kerugian besar.
Aliff, 38, mendedahkan dirinya sering dipergunakan individu terdekat, termasuk rakan-rakan.
Menurut penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu, ada yang berpura-pura hidup mewah tetapi sebenarnya tidak bertanggungjawab untuk membayar semula pinjaman.
Lebih mengejutkan, jumlah keseluruhan hutang yang masih belum dikembalikan kini dianggarkan mencecah RM50 juta.
“Sejujurnya, saya serik nak bagi orang pinjam duit. Saya ada ramai kawan yang nampak kaya, tapi suka pinjam duit dan tak bayar. Akhirnya, saya pula kelihatan seperti pengemis bila minta semula hutang.
“Rentetan pengalaman yang kurang enak itu, sukar untuk saya percaya kepada orang lain. Sebab itu saya hanya percaya isteri saya saja,” katanya.
Tambah pelakon filem Badang ini, niat asalnya hanyalah mahu membantu, namun kepercayaan yang diberikan sering disalahguna hingga membuatkannya nekad untuk tidak lagi bersikap terlalu pemurah.
“Sebelum ini, kalau ada yang nak pinjam RM1,000, saya beri saja dan anggap sebagai sedekah atau zakat. Sebab kalau saya anggap sebagai pinjaman, nanti boleh menimbulkan pergaduhan.
“Sebab itu sekarang saya pilih untuk lalui susah senang dengan isteri dan keluarga sahaja.
“Saya pernah pinjamkan kepada 50 orang, tapi seorang pun tak bayar balik. Bila saya dedahkan perkara ini, orang pula salah anggap dan tuduh saya ada niat tak baik. Memang serik,” jelasnya.
Ekoran kerugian besar yang ditanggung, Aliff kini mengambil langkah tegas dengan menyerahkan urusan tuntutan hutang kepada pihak peguam dan sedang dalam proses undang-undang untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjam.
“Sekarang saya sedang usahakan untuk dapatkan semula hak saya melalui proses mahkamah. Jumlahnya lebih kurang RM50 juta.
“Ramai hanya tahu cerita di permukaan, tapi kes ini masih berjalan di mahkamah, jadi saya tak boleh ulas lebih lanjut,” katanya.




