Gaji permulaan graduan perlu disemak semula

Gaji permulaan graduan perlu disemak semula

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Struktur gaji permulaan graduan wajar disemak semula bagi memastikan kuasa beli kekal mampan, sejajar dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat, kata Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim.

“Jika dahulu gaji permulaan RM1,300 hingga RM1,500 dianggap mencukupi kerana harga barangan murah, subsidi kerajaan kukuh, dan nilai ringgit stabil, tetapi landskap ekonomi kini berubah sama sekali.

“Cabaran inflasi, teknologi disruptif dan pengurangan subsidi meletakkan tekanan besar kepada graduan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kerajaan perlu melihat gaji graduan sebagai salah satu pemboleh ubah penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

“Ini kerana, pendapatan yang lebih tinggi akan meningkatkan kuasa beli dan tabungan dalam kalangan tenaga kerja muda.

“Aliran wang yang sihat dalam pasaran akan merangsang aktiviti ekonomi domestik termasuk dalam sektor peruncitan, hartanah, perbankan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dalam jangka panjang ini turut membantu kestabilan makroekonomi negara,” katanya.

Mohd Faisol berkata, kesan limpahan ekonomi ini penting kerana ia bukan sekadar menguntungkan individu graduan, tetapi memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian ekonomi negara.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran supaya tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah, sekiranya terdapat pelarasan gaji dalam pasaran buruh.

Katanya, kawal selia harga dan pemantauan harus ditingkatkan bagi mengelak manipulasi pasaran.

Dalam masa sama, beliau berkata, majikan disaran tidak melihat kenaikan gaji semata-mata sebagai beban kos, sebaliknya sebagai pelaburan jangka panjang.

“Peningkatan pendapatan selaras dengan kos sara hidup akan menghasilkan pekerja yang lebih bermotivasi, setia dan produktif.

“Kesan langsungnya akan kembali kepada majikan dalam bentuk keuntungan yang berlipat kali ganda menerusi peningkatan prestasi dan daya saing syarikat,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan satu pendekatan holistik antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan tinggi dalam menyemak semula kerangka gaji permulaan graduan supaya lebih relevan dengan realiti ekonomi semasa.

“Keseimbangan antara keperluan pasaran buruh dan kelangsungan hidup graduan mesti diberi perhatian serius bagi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi jangka panjang.

“Graduan adalah aset masa depan negara, gaji yang wajar bukan sahaja soal imbuhan, tetapi penanda aras keadilan ekonomi dalam masyarakat moden,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top