Kenal pasti laluan panas hidupan liar, kekang insiden pelanggaran

Kenal pasti laluan panas hidupan liar, kekang insiden pelanggaran

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kajian menyeluruh untuk mengenalpasti kawasan panas laluan hidupan liar perlu dilaksanakan sekali gus dapat mengekang insiden pelanggaran membabitkan hidupan liar serta kenderaan awam.

Aktivis jalan raya, Datuk Mohammad Hisham Shafe berkata, kajian itu akan membabitkan semua agensi berkepentingan antaranya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta agensi berkaitan.

“Insiden yang berlaku semalam bukan insiden pertama dan ia jelas menunjukkan perlunya kajian menyeluruh oleh pihak berkuasa untuk mengenalpasti kawasan berisiko tinggi atau ‘wildlife hotspots’.

“Insiden berkenaan bukanlah kejadian terpencil, sebaliknya sudah berulang kali berlaku di beberapa negeri, membuktikan wujudnya kegagalan dalam pengurusan keselamatan jalan raya yang melalui habitat haiwan liar.

“Saya mencadangkan pembinaan lintasan khas untuk haiwan, pemasangan papan tanda amaran lebih efektif dan penggunaan teknologi pemantauan moden seperti sensor pergerakan dan sistem kamera,” katanya.

Terdahulu, video menyayat hati berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial mengundang reaksi simpati dalam kalangan orang awam apabila melihat tindakan ibu gajah yang enggan berganjak dari lokasi kerana mahu ‘menyelamatkan’ anaknya.

Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bawah bahagian hadapan lori terbabit.

Beliau berkata, insiden terbaru itu hanya disusuli kenyataan daripada pihak pemandu lori yang mendakwa anak gajah berkenaan ‘tiba-tiba melintas’ dan ia mencetuskan tanda tanya terhadap kelajuan lori berkenaan.

Menurutnya, aspek pemanduan dan kelajuan lori terbabit juga harus diberi perhatian oleh pihak berkaitan dan tidak hanya menjadikan kenyataan pemandu itu sebagai satu bukti saja.

“Persoalan penting ialah adakah lori berkenaan dipandu laju sehingga gagal melakukan brek kecemasan? Di kawasan yang diketahui sebagai laluan haiwan liar, kelajuan seharusnya dikawal dan pemanduan perlu lebih berwaspada.

“Keselamatan jalan raya bukan hanya tentang melindungi nyawa manusia, tetapi juga tanggungjawab kita terhadap alam sekitar dan kelestarian hidupan liar.

“Insiden seumpama ini pernah dilaporkan sebelum ini, antaranya di Gerik, Hulu Terengganu dan Rompin, menandakan bahawa laluan haiwan liar masih belum dilindungi dengan baik daripada risiko pertembungan dengan kenderaan berat,” katanya.

Beliau berkata, isu ini dijangka akan dibangkitkan dalam sesi Parlimen akan datang, sejajar dengan desakan masyarakat sivil agar sistem jalan raya negara menitikberatkan keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan biodiversiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top