Kutipan besar, belum boleh dabik dada

Kutipan besar, belum boleh dabik dada

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Catatan kutipan besar di pawagam bukan penanda aras industri filem tempatan mampu menerbitkan filem yang mencapai kualiti selayaknya.

Pengkritik filem, Ku Seman Ku Hussain berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memang terdapat beberapa filem yang mencatatkan kutipan besar di pawagam.

“Kualiti filem tidak sahaja diukur daripada aspek pembikinan atau produksi dan penggunaan teknologi terkini. Kualiti lebih menjurus pada isi kandungan yang membawa wacana besar.

“Kalau diperhatikan hanya segelintir filem sahaja yang membincangkan wacana yang seharusnya disampaikan kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga editor portal Kayang Post berkata, tanda aras kualiti adalah gabungan antara teknologi, daya kreatif pembikinan dan isi kandungan yang membawa wacana besar.

Katanya, semua aspek itu mesti ‘digaul’ dengan baik supaya sesebuah filem tidak sahaja memaparkan visual yang hebat tetapi membawa makna dalam konteks wacana pemikirannya.

“Kutipan besar terhadap beberapa filem tempatan disebabkan selera penonton dipengaruhi oleh flem ‘box office’ (pecah panggung) yang dibawa dari luar terutama Hollywood.

“Filem Hollywood lebih bercorak popular daripada membawa wacana. Filem tempatan yang mencatat kutipan besar lebih bercorak fantasi sosial yang ‘disalin’ daripada Hollywood dan Hong Kong.

“Filem-filem itu lebih pada aksi tetapi tidak didukung oleh isi kandungan yang mencabar pemikiran (wacana) penonton,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur Thaaqhib Mohammed berkata, ketika menilai tahap kebagusan sesebuah filem, titik pusat utama adalah pada sejauh mana penyampaian sinematik itu mencapai tahap selayaknya untuk layar lebar.

“Karya untuk filem datang dari penguasaan seni dan teknikal yang berlapis-lapis. Kita letakkan asas bahawa ukuran sebenar kualiti filem itu jauh lebih sofistikated berbanding ukuran ‘box office’.

“Ukuran ‘box office’ juga satu ukuran yang penting, cuma ia mengukur tahap kebagusan pengedaran dan program pemasaran, bukan tahap kebagusan filem.

“Ini adalah cabang penting yang akhirnya jadi sandaran besar kepada filem yang diterbitkan. Keupayaan studio dan syarikat untuk berpakat mencipta program pemasaran sesuai menentukan nasib filem di pawagam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kutipan ‘box office’ menunjukkan penerbit filem berjaya bersepakat meletakkan filem pada landasan komersial yang mengoptimumkan keupayaan pemasaran dan edaran.

“Ia juga menandakan penerbit benar-benar menangani filem sebagai produk jualan yang berkesan.

“Ia adalah ukuran kejayaan program pemasaran, diplomasi antara pemain utama industri dan pelaburan yang berani.

“Jika menyentuh mengenai kualiti atau tahap kebagusan filem, ia adalah topik yang berbeza dan tidak boleh diukur dengan ‘box office’ sama sekali,” katanya.

Terdapat beberapa filem yang merekodkan kutipan ‘box office’ kebelakangan ini termasuk filem gandingan Shafiq dan Abhilash Blood Brothers: Bara Naga.

Filem itu mencetuskan fenomena luar biasa kepada penonton tempatan hingga mencatat kutipan ‘box office’ melebihi RM70 juta dalam tempoh 25 hari tayangan di pawagam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top