mahaizura@mediaprima.com.my
Bersesuaian dengan ungkapan belia aset negara, pembangunan di sesebuah negara seharusnya tidak meminggirkan keperluan golongan itu.
Malah, perkara ini bukan asing apabila sudah banyak negara maju amat cakna sehingga sanggup membuat pelaburan tinggi untuk memenuhi keperluan dan memperkasakan golongan itu.
Di Kanada misalnya, pusat komuniti belia seperti Young Men’s Christian Association atau lebih dikenali sebagai YMCA dan Boys & Girls Clubs of Canada dibangunkan berdasarkan keperluan komuniti tempatan yang bukan sahaja menyediakan ruang sukan dan rekreasi, tetapi turut menawarkan latihan kemahiran, sokongan kesihatan mental dan program kesenian.
Selain itu, New York pula membangunkan pusat inovasi dan kreativiti dengan menawarkan teknologi inkubator dan ruang kerja seperti Civic Hall atau Tech Incubators bagi menyokong belia yang mahu membangunkan start up serta industri seni dan hiburan juga memberi ruang belia berbakat dalam bidang muzik, teater dan filem.
Bandaraya Tokyo juga tidak ketinggalan dalam menyediakan ruang positif dan inklusif untuk memperkasakan belia dengan penekanan terhadap pembangunan holistik meliputi aspek sosial, akademik, kesenian dan kesihatan mental. Singapura dan Korea Selatan pula, lebih ke hadapan kerana menggabungkan rekreasi dengan inovasi serta kreativiti seni, muzik dan keusahawanan dalam pusat belia mereka.
Ini membuktikan, mengupaya belia melalui kemudahan dan peluang menyeluruh adalah langkah penting dalam memastikan pembangunan mampan kerana kegagalan memenuhi keperluan belia boleh menyumbang kepada masalah lain seperti pengangguran, kehilangan hala tuju, radikalisasi, jenayah serta gejala sosial.
Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Syafiq Ridzwan Jamaluddin berkata, Malaysia perlu menjadikan negara maju itu sebagai model rujukan dengan tidak meminggirkan keperluan belia dalam pembangunan.
“Kerangka Bandaraya Berdayahuni seperti dicadangkan UN-Habitat, People-Centered City Development menekankan fokus terhadap membangunkan bandar raya mapan yang seimbang antara ‘mesra manusia’ daripada aspek fizikal (infrastruktur) dan sosial (kesejahteraan),” katanya.
“Untuk memastikan rancangan pembangunan pembandaran mampan, perancang bandar seharusnya perlu menjiwai nilai kemanusiaan tinggi berbanding nilai komersial semata-mata kerana apabila penghuni rasa selesa dan sejahtera, sudah tentu ia akan menggalakkan lagi nilai komersial sesuatu bandar.
“Perkara ini pernah dan saban kali dibangkitkan pihak MBM dan Majlis Belia Negeri Selangor melalui platform Majlis Perundingan Belia Negara berkaitan memohon supaya diperuntukkan atau dibina suatu kawasan rekreasi dan ruang selamat untuk warga belia menjalankan aktiviti positif,” katanya.
Katanya, setiap pembangunan baharu yang dijalankan wajib mempunyai suatu kawasan khusus belia atau menyediakan suatu kawasan khusus untuk warga belia dan komuniti beriadah dan menjalankan aktiviti dengan positif.
“Pihak MBM, pernah mencadangkan konsep seperti Uram Park di Kazan, Rusia yang sangat progresif untuk warga belia beraktiviti dengan sihat dan terkawal. Kewujudan pusat pemangkin ekonomi seperti ini sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan masalah sosial dalam kalangan belia dan pada masa sama membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial warga belia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd