Kano, Nigeria: Lebih 5,000 penduduk dari komuniti luar bandar di Sokoto, barat laut Nigeria, terpaksa melarikan diri dari rumah masing-masing selepas seorang ketua gengster mengarahkan mereka berpindah, kata seorang ahli parlimen tempatan dan beberapa penduduk kepada AFP pada Isnin.
Wilayah barat laut dan tengah Nigeria sejak sekian lama dibelenggu kumpulan bersenjata berat, dikenali sebagai penyamun atau bandits, yang melancarkan serangan berdarah ke atas kampung dan menculik penduduk untuk wang tebusan.
Situasi semakin rumit apabila terdapat kerjasama yang semakin erat antara kumpulan penjenayah bermotifkan kewangan ini dan militan yang berperang selama 16 tahun untuk menubuhkan khalifah di timur laut Nigeria.
Menurut ahli parlimen tempatan, Habibu Halilu Modachi, sekurang-kurangnya 12 dibunuh oleh kumpulan penjenayah bagi memaksa penduduk meninggalkan kampung, dan angka korban serta pelarian dijangka meningkat kerana laporan masih diterima.
“Antara Sabtu dan Ahad, lebih 5,000 orang diusir dari rumah mereka di Bafarawa dan beberapa komuniti berhampiran akibat ancaman serangan oleh Bello Turji,” kata Modachi, merujuk kepada seorang ketua penjenayah yang terkenal di rantau itu.
“Turji menghantar orang suruhannya ke kampung-kampung dan mengarahkan mereka berpindah sebelum petang Ahad, atau berdepan maut.”
Tindakan pengusiran ini dipercayai bertujuan membersihkan kawasan itu daripada penduduk, yang didakwa penjenayah telah menyalurkan maklumat kepada pihak tentera.
Penduduk dari beberapa kampung di daerah Isa, berhampiran sempadan dengan Niger, melarikan diri dari rumah mereka sejak Sabtu hingga Ahad susulan ancaman tersebut. Mereka kini berlindung di pekan Isa dan Shinkafi di negeri jiran, Zamfara, serta di kawasan yang lebih selamat bersama saudara-mara.
“Malah pagi ini, dua orang dibunuh, sembilan cedera dan tujuh lagi diculik,” kata Modachi.
Seorang penduduk, Abubakar Altine, berkata lapan orang dibunuh dan 20 cedera pada Sabtu apabila geng penjenayah menyerang kampungnya.
“Kami melarikan diri ke Isa. Sekarang kami tinggal tanpa makanan atau tempat berteduh. Kami benar-benar buntu,” katanya kepada AFP menerusi telefon.
Ahmad Abdullahi, yang turut melarikan diri ke Isa, berkata kumpulan penjenayah masuk ke kampungnya dan mengarahkan semua orang berpindah.
“Mereka melepaskan tembakan sesuka hati dan merampas wang, makanan serta apa sahaja yang bernilai,” katanya.
Bello Turji, 31, pernah menjadi penggembala sebelum beralih kepada aktiviti mencuri lembu dan menculik untuk wang tebusan sejak 2011. Beliau berpindah dari kampung asalnya di Shinkafi, negeri Zamfara ke Sokoto selepas kem tentera Nigeria melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap kemnya pada Disember 2021.
Turji beberapa kali menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan negeri Zamfara, tetapi mengingkari janji dan meneruskan serangan terhadap komuniti.
Menurut penduduk dan sumber keselamatan, Turji sangat dihormati oleh anak buahnya dan ditakuti masyarakat tempatan yang percaya dia memiliki kuasa luar biasa yang menjadikannya kebal.
Dia menguasai tiga daerah, mengenakan cukai ke atas kampung-kampung dan melancarkan serangan berdarah terhadap mereka yang gagal membayar — termasuk membunuh wanita dan kanak-kanak.
Pada Februari 2021, Turji muncul dalam satu video yang tersebar luas dengan ancaman untuk menjemput geng luar negara bagi mengkucar-kacirkan Nigeria.
Pada Januari lalu, tentera Nigeria melancarkan pengeboman udara ke atas kem Turji di Sokoto dan Zamfara, membunuh beberapa orang kanannya dan memaksanya bersembunyi.
© New Straits Times Press (M) Bhd