najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di sini, semalam akibat kecederaan otot di bahagian pinggang.
Hans ketika dihubungi berkata, kecederaan yang dialami berlaku ketika dia berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah selepas menghadiri sesi Sesi Town Hall Finas di sana.
“Kecederaan berlaku ketika saya menunggu penerbangan untuk balik ke Kuala Lumpur selepas menghadiri Sesi Town Hall di Kota Kinabalu dua hari lalu.
“Ia menyebabkan saya susah nak berjalan, tapi terpaksa juga minta keluar hospital hari ini sebab ada tugasan yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Menurut Hans, dia sepatutnya tidak dibenarkan keluar wad hari ini, namun atas faktor kekangan kerja dia memohon pertimbangan pihak hospital untuk ‘melepaskannya’.
“Saya perlu keluar hospital hari ini kerana sudah berjanji untuk menghadiri program pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Seremban, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, hari ini.
“Jadi saya minta jasa baik doktor untuk ‘lepaskan’ saya atas permintaan sendiri. Sekarang saya sedang menjalani rawatan fisioterapi sebelum bertolak ke Seremban jam dua petang ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




