mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penstrukturan pengurusan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) di bawah Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak membabitkan sebarang kos tambahan berikutan mengoptimumkan sumber dan infrastruktur sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penjenamaan dua institusi terbabit kepada hanya satu pengurusan dengan nama baharu, Kolej Profesional (KP) MAIWP itu bertujuan memelihara dan mengoptimumkan lagi zakat awam bagi memperkasa golongan asnaf menerusi bidang pendidikan.
“Ada dakwaan pihak luar yang mengatakan penggabungan ini akan berlaku salah guna duit zakat dan sebagainya tetapi sebenarnya tidak.
“Objektif utama penjenamaan KP MAIWP ini ialah untuk mengoptimumkan penggunaan wang zakat ini bagi melahirkan anak asnaf berjaya dan mampu mengubah nasib kehidupan keluarga ke arah lebih baik.
“Saya juga menekankan, gabungan ini tidak membabitkan sebarang kos kerana kita mengoptimumkan dan memanfaatkan sumber sedia ada seperti infrastruktur antara kedua-dua institusi berkenaan.
“Contohnya, pelajar IKB yang sebelum ini tiada pusat sumber boleh memanfaatkan pusat sumber yang ada di bangunan KPBKL,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan IKB di bawah Kolej KPBKL MAIWP di sini, hari ini.
Mohd Na’im mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak mempertikaikan penggabungan IKB dan KPBKL akan mewujudkan ruang seleweng wang zakat.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, penstrukturan ini juga bukan ‘after talk’ tetapi dirangka berdasarkan kajian dan analisa daripada pelbagai aspek termasuk langkah rasionalisasi dibuat kerajaan serta turut diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Penggabungan ini tidak akan menjejaskan kebajikan pelajar asnaf sebaliknya kebajikan mereka akan terus terpelihara dan ditambah baik supaya golongan itu menerima kemudahan pendidikan lebih baik.
“Melalui proses rasionalisasi kita buat ini, IKB akan melalui perubahan besar dari sudut kurikulum, silibus, sijil dan sebagainya supaya ia terus relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan zaman.
“Jadi, kalau mana-mana pihak hendak bantah, bermakna dia membantah dasar diputuskan Kabinet kerajaan dan mencabar apa yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Sehingga kini, KPBKL yang meraikan ulang tahun ke-33 pada 23 April lalu, berjaya melahirkan lebih 18,000 graduan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




