Pelakon popular, Aaron Aziz menegur tindakan seorang pempengaruh dikenali sebagai DMA Islam yang didakwa memperlekehkan beberapa jurusan di institusi pengajian tinggi tempatan.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, menyifatkan kenyataan individu berkenaan sebagai tidak wajar selepas menyebut jurusan seperti Komunikasi Media (Masscom), Teater dan Muzik sebagai ‘bodoh’ serta ‘tidak mempunyai hala tuju’.
“Nama guna DMA Islam, tapi tak habis-habis kutuk orang seolah-olah diri paling bijak. Kalau asyik nak pandang rendah terhadap bidang seni, elok buang sahaja nama ‘Islam’ itu,” katanya.
Menurut Aaron, yang terkenal menerusi filem pecah panggung seperti KL Gangster dan Ombak Rindu, bidang seni dan komunikasi telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri hiburan negara selain membuka pelbagai peluang pekerjaan.
“Industri Komunikasi Massa inilah yang membantu melonjakkan industri filem negara hingga mencatat kutipan berjuta-juta ringgit. Kepala bana,” luahnya dengan nada kesal.