PADA 6 Mei lalu, Donald Trump mengisytiharkan bahawa kumpulan Ansarullah, Yaman tidak berminat lagi untuk berperang.
Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Yaman selama tujuh minggu dan menelan belanja tidak kurang 2 bilion USD.
Dalam tempoh tersebut sebanyak satu ribu serangan udara dilancarkan dan kesemua aset strategik ketenteraan Amerika Syarikat terlibat seperti kapal pengangkut pesawat, kapal perang, jet pengebom B-52 dan lain-lain lagi aset penting.
Mengikut laporan majalah Foreign Affairs; Amerika Syarikat gagal mencapai objektif yang ditetapkan iaitu menjamin keselamatan kapal perdagangan di Laut Merah serta menghapuskan kumpulan Ansarullah yang dituduh sebagai proksi Iran.
Menteri Luar Kesultanan Oman mengeluarkan kenyataan bahawa negaranya menjadi orang tengah dalam perundingan damai antara Ansarullah dan Amerika Syarikat.
Kesepakatan yang dicapai ialah hanya kedua-dua pihak sahaja tidak akan menyerang antara satu sama lain, dengan erti kata lain pihak Ansarullah akan terus menyasarkan negara haram Israel.
Regim penjajah Zionis-Israel sangat tidak berpuas hati dengan perjanjian ini kerana gagal memperkudakan Amerika Syarikat.
Walaupun Yaman sebuah negara yang miskin namun terdapat rahsia mengapa sejak zaman berzaman mana-mana kuasa tidak dapat menundukkan negara ini.
Terdapat tiga faktor utama; pertama pegangan rakyatnya kepada ajaran Islam begitu kuat berkat doa Nabi SAW bahawa Iman itu Yaman dan Hikmah itu Yaman. Kedua pegangan rakyatnya kepada budaya kabilah Arab sejak ribuan tahun yang menjadi kebanggaan menolong orang yang lemah dan dizalimi. Ia jelas dalam syia’ar serangannya ke atas Zionis-Israel iaitu menolong rakyat Gaza yang dizalimi. Dua kekuatan dalaman ini menyebabkan Amerika Syarikat dan Zionis-Israel gagal menembusinya, tidak sebagaimana negara Islam lain seperti Lubnan, Syria dan lain-lain yang rata-rata disokong oleh pengkhianat dari dalam yang berjaya ditanam oleh musuh. Ketiga geografi negara Yaman yang dipenuhi dengan gunung-ganang dan bukit-bukau yang menjadi benteng semulajadi daripada serangan musuh.
Sebagai umat Islam perlu memahami bahawa ukuran kekuatan bukan sahaja dari sudut lahiriyyah bahkan lebih dari itu ialah kekuatan Iman dan azam serta pergantungan kepada Allah.
Semoga Allah SWT terus memelihara Yaman dan seluruh bumi umat Islam.
YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
13 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 13/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!









