aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siapa sangka, minat bermain permainan video yang suatu ketika dahulu dianggap ‘buang masa’, kini membuka pintu kejayaan hingga ke istana.
Tiga pemain Selangor Red Giants (SRG.OG) Hazziq Danish (Stormie), Muhammad Haqqullah (Sekys) dan Muhammad Qayyum (Yums) diberi penghormatan menerima Pingat Kecemerlangan Sukan Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-79 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengiktirafan itu bukti nyata e-Sukan kini berkembang sebagai industri profesional, bukan sekadar hobi untuk suka-suka.
Mereka menjadi wira selepas menamatkan penantian tujuh tahun menjulang trofi Piala Dunia MSC Esports 2024 di Riyadh, Arab Saudi, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan lumayan USD1,000,000 (RM4.66 juta).
Lebih manis, pemain jungler SRG.OG, Muhammad Haqqullah turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) MSC MLBB 2024, satu pencapaian peribadi yang melonjakkan namanya dalam arena antarabangsa.
Kejayaan SRG.OG bukan sahaja melonjakkan nama Selangor di pentas dunia, malah mengangkat martabat e-Sukan sebagai sukan berprestij yang kini mendapat perhatian pihak istana dan kerajaan negeri.
Industri e-Sukan di Malaysia dilihat terus berkembang pesat dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk inisiatif pembangunan akar umbi dan penyertaan aktif dalam kejohanan antarabangsa.
Malah, kemenangan SRG.OG di Riyadh menjadi pencetus semangat kepada generasi muda yang bercita-cita untuk menjadikan e-sukan sebagai profesion sepenuh masa.
Dengan reputasi kian kukuh, SRG.OG kini bukan lagi sekadar pasukan e-Sukan, tetapi simbol kejayaan anak muda Malaysia di pentas global.
© New Straits Times Press (M) Bhd




