H: Tiga pegawai bank disyaki gubah wang haram, rasuah direman lima hari
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Foto Ihsan SPRM
Kuala Lumpur: Tiga pegawai dua institusi kewangan yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan permohonan pinjaman lebih RM21 juta direman lima hari bermula hari ini.
Ketiga-tiga suspek yang memegang jawatan pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan berusia 30 hingga 40-an itu direman sehingga 18 Mei ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Putrajaya.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek dilaporkan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara jam 4 hingga 5 petang semalam.
Sumber berkata, ketiga-tiga suspek disyaki bersama memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar tahun lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, ketua jabatan itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang membuat lima permohonan pinjaman keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta.
“Wang rasuah itu sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman yang dibuat oleh syarikat berkenaan,” katanya.
SPRM turut membekukan empat akaun perbankan milik individu terbabit yang bernilai kira-kira RM268,000 selain menyita tiga peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd




