am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Kekangan bahan api khususnya diesel menyebabkan penduduk Kampung Baru, Pulau Redang, di sini terpaksa berulang ke tanah besar untuk mendapatkan bekalan berkenaan sejak dua minggu lalu.
Penduduk mendakwa masalah timbul disebabkan pertukaran kontraktor bertanggungjawab untuk penyediaan bahan api dengan kontraktor baharu didakwa tidak mempunyai kemudahan asas pembekalan.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot Pelancong Pulau Redang, Mohd Yusri Azizol Yusoff, 38, berkata, tujuan melantik kontraktor bagi memberi kemudahan kepada penduduk mendapatkan keperluan itu tanpa perlu ke tanah besar yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya sejam perjalanan.
“Kalau lantik kontraktor baharu tetapi penduduk kena berusaha sendiri untuk mendapatkan minyak, lebih baik tidak perlu ada kontraktor, kerana kontraktor dilantik untuk memudahkan bukan menyusahkan penduduk,” katanya ketika ditemui di perkampungan itu, semalam.
Mohd Yusri Azizol berkata, kesukaran mendapatkan bahan api turut menjejaskan operasi 200 pengusaha bot pelancong dan lebih 30 pengusaha penginapan di sekitar pulau pelancongan berkenaan.
Bagi pengusaha teksi air dan bot pelancong, Azmi Kamaruzaman, 48, ketika ini mereka menggunakan semula kaedah lama iaitu agihan menerusi tong minyak dan urusan jual beli daripada atas bot.
“Kaedah ini betul-betul mengembalikan semula kesusahan yang pernah dilalui penduduk kira-kira 50 tahun lalu. Kontraktor baharu terpaksa menggunakan kaedah lama kerana tiada kemudahan asas seperti tangki untuk menyimpan stok minyak seperti yang disediakan kontraktor sebelum ini,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Redang, Maarop Ismail pula berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri dan kontraktor yang baharu dilantik bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, pihak kontraktor memberi jaminan akan membawa masuk bekalan diesel dan petrol bermula Khamis.
“Disebabkan tidak memiliki tapak untuk menyimpan stok, jadi peringkat permulaan untuk jangka masa pendek, kontraktor terbabit berjanji akan membekalkan sebanyak 40,000 liter petrol dan 35,000 liter diesel yang diisi dalam 300 tong minyak (25 liter setiap satu) dan kaedah jual beli dilakukan daripada atas bot,” katanya.
Menurutnya, pihak KPDN juga berjanji akan mengambil tindakan sekiranya kontraktor terbabit gagal menyediakan bekalan seperti dijanjikan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, urusan tender pembekalan diesel dan petrol di Pulau Redang dikendalikan KPDN, namun kerajaan negeri akan memantau masalah itu agar tidak menjejaskan penduduk dan pengusaha pusat peranginan.
“Dalam masa terdekat saya akan berbincang perkara ini dengan KPDN dan kontraktor yang baharu dilantik untuk menyelesaikan sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




