Pelakon dan usahawan sensasi, Zarina Anjoulie akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung isu tular di TikTok yang mendakwa dirinya mencuri sebuah kereta mewah model Mercedes Benz.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik, Zarina atau lebih mesra dengan panggilan Anju menegaskan, dia telah difitnah dan segala tuduhan terhadapnya adalah tidak benar sama sekali.
“Assalamualaikum semua. Saya sebenarnya memilih untuk berdiam diri sebelum ini mengenai isu saya dituduh mencuri dan menyorok kereta Mercedes Benz. Tapi ramai yang bertanya, video pun dah viral di TikTok, jadi saya nak jelaskan cerita itu tak benar sama sekali,” katanya.
Menurut Anju, kereta tersebut bukan dicuri sebaliknya diberikan kepadanya sebagai cagaran oleh individu tertentu berhubung satu kes ganti rugi yang masih belum diselesaikan.
Dua laporan polis dibuat
Malah, dua laporan polis telah dibuat antaranya, berkaitan pemilikan kenderaan terbabit dan satu lagi, berhubung tindakan pencerobohan serta fitnah yang dilemparkan oleh individu bernama, Nurul Ariani.
“Kereta itu diberikan kepada saya sebagai cagaran kerana ada ganti rugi yang pihak tersebut perlu lunaskan kepada saya. Tapi benda itu tak diceritakan langsung oleh pihak sana. Semua bukti ada dengan saya.
“Semalam, pihak polis telah buat serbuan ke rumah individu tersebut untuk penangkapan, tetapi dia dilepaskan dengan jaminan polis. Sekarang saya perlu serahkan segala dokumen penting seperti geran tanah dan rumah kerana dia bukan saja menceroboh, tetapi memfitnah saya dan keluarga.
“Sedangkan dia tahu kenapa kereta itu ada pada saya. Ia adalah atas persetujuan bersama disebabkan ada perara yang perlu dia selesaikan dengan saya,” tambahnya.
Bertindak keterlaluan
Kesal apabila keluarga turut menjadi mangsa dalam isu ini, Anju mendakwa individu berkenaan bertindak keterlaluan apabila membuat rakaman video secara langsung (live) di kediaman keluarganya dan bertindak biadab terhadap ibunya.
“Awak membuat fitnah, datang dengan biadapnya membuat live video di luar kediaman keluarga saya dengan mak saya.
“Mak saya yang pernah jemput dan bagi awak dan keluarga awak makan. Macam tu awak biadap dengan keluarga saya. Menceroboh, memfitnah saya mencuri dan tak hormat dengan ibu saya itu sebab saya ambil tindakan,” jelasnya.
Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang
Anju turut memaklumkan, kes ini juga telah diserahkan kepada peguamnya dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman malu kepada individu terbabit.
“Saya diam selama ini sebab sedang ambil tindakan undang-undang. Lepas ini, peguam saya akan saman malu.
“Bukan itu sahaja, dia juga membuat fitnah terhadap rakan baik saya dengan menuduh kawan saya menculik anaknya demi view,” ujarnya.
Perkara tu dikongsi Anju menerusi muat naik video di platform TikTok miliknya.




