Pikap terjatuh ke dalam Sungai Sarawak

Pikap terjatuh ke dalam Sungai Sarawak

mdroji@bh.com.my

Kuching: Kesan minyak yang timbul di permukaan air memberi petunjuk kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan pikap yang dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Sarawak di jeti berdekatan Jambatan Tun Abang Muhammad Salahuddin di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kesan minyak itu dilihat kira-kira 8 pagi ini.

Berikutan itu katanya, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerah untuk melakukan selaman bagi mengesan kenderaan terbabit.

Terdahulu, PGO JBPM Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian sebuah pikap terjatuh ke dalam Sungai Sarawak jeti bersebelahan Jambatan Tun Salahuddin, di sini, pada 10.07 malam tadi.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya diarah ke lokasi, kira-kira empat kilometer dari balai itu, sejurus menerima panggilan itu.

“Jentera bomba tiba pada 10.11 malam dan berdasarkan maklumat saksi, kenderaan itu dilihat berada di kawasan itu kira-kira 10 malam.

“Kenderaan yang diletakkan menghala ke sungai itu dilihat tiba-tiba bergerak sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya.

Menurutnya lagi identiti pemandu dan penumpang, serta jenis kenderaan itu belum dikenal pasti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top