zatuliffah@hmetro.com.my
Marang: Seorang daripada ahli Geng Apan Sungai Petani dipenjara empat bulan, denda RM2,000 dan satu sebatan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Tertuduh, Mohd Shafik Jamaludin, 30, yang mempunyai rekod jenayah lampau turut berdepan hukuman penjara tiga bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat Majistret Noryusriza Zulkifli selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.
Selain itu, 10 lagi rakannya yang berusia antara 22 hingga 44 tahun didenda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Hafizal Ab Hashim, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mencuri 208 batang wayar kabel dan lima gulung kabel berwarna hitam yang di dalamnya mengandungi logam, disyaki jenis tembaga milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Mereka melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Sungai Kerak di sini, pada 5.30 pagi, 8 Mei lalu dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca Seksyen 34 kanun sama.
Mahkamah menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes Hafizal dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maisarah Abdul Razak.
Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan ‘Geng Apan Sungai Petani’ yang dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi bawah tanah milik sebuah syarikat telekomunikasi di sebuah inap desa di Kampung Baru Rhu Muda di sini, 8 Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd