
Dari kiri: Trump, Zelenskyy dan Putin. – Foto Agensi
MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menghadiri rundingan langsung bersama Kiev yang pertama kali diadakan dalam tempoh tiga tahun.
Kremlin memaklumkan proses damai itu hanya akan diwakili delegasi terdiri daripada kumpulan teknokrat berpengalaman.
Pertemuan di Istanbul pada Khamis itu dicadangkan Putin pada Ahad lalu, namun beliau tidak pernah mengesahkan akan menghadirkan diri manakala Trump pada mulanya beria-ia mahu menyertai dialog tersebut.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy bagaimanapun mencabar Putin untuk menyertai sesi dialog tersebut.
Menerusi kenyataan pada Rabu, beliau menegaskan langkah untuk menjayakan proses damai di Turkiye hanya akan diputuskan apabila penyertaan Putin disahkan.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte berkata, beliau menaruh harapan terhadap rundingan tersebut, namun tetap berwaspada terhadap kemajuan bagi meredakan konflik Rusia-Ukraine.
“Terpulang kepada Moscow untuk memastikan mereka mengambil langkah perlu seterusnya untuk mencapai perdamaian,” ujarnya. – Agensi