am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejayaan Konsert GenKRU yang berlangsung selama empat malam di Axiata Arena Bukit Jalil pada 3,4,10 dan 11 Mei lalu bukan saja diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sekali gus melakar sejarah dalam karier seni, trio adik beradik, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry.
Norman ketika dihubungi berkata, rahsia kejayaan konsert itu kerana komitmen terbaik yang diberikan mereka bersama penganjur Icon Entertainment Sdn Bhd.
“Saya rasa, kami, Yusry dan Edry sudah berikan komitmen yang terbaik bersama penganjur kerana semua mahukan yang terbaik juga untuk konsert ini.
“Jadi, kami juga berikan kelainan dalam persembahan dan sesuatu yang lebih dari jangkaan penonton pada setiap malam.
“Kenangan dan momen paling manis, bila melihat semua peminat setia yang hadir turut menghidupkan suasana era 1990-an dan kembali ke zaman remaja dulu,” katanya kepada Harian Metro.
Berkongsi cabaran dan tekanan dalam merealisasikan konsert itu, kata Norman, perkara paling sukar adalah dari segi masa untuk mengadakan latihan dan persiapan.
“Berbeza ketika kami menjadi artis sepenuh masa (zaman muda) dulu tapi sekarang kami masing-masing sudah ada komitmen lain.
“Jadi tumpuan untuk buat latihan dan persiapan kadang-kadang terganggu sikit. Bila kita tak boleh bagi tumpuan sepenuhnya untuk latihan akan ada tekanan kalau kita tidak dapat beri sesuatu yang memuaskan dan memenuhi permintaan peminat.
“Edry sendiri terpaksa pulang ke Manchester dan hanya balik selepas raya untuk persiapan konsert. Begitu juga saya dan Yusry juga ada komitmen kerja lain,” katanya.
Kata Norman lagi, selain berdepan cabaran dari segi masa yang diberikan untuk sesi latihan, dia juga perlu menghafal ‘step’ tarian yang masih baru buatnya.
“Saya terfikir macam mana jika saya tersilap ‘step’ tarian kerana untuk menghafal ‘step’ baru juga adalah satu cabaran bagi saya kerana sudah lama tidak menari di pentas.
“Tapi Edry pula nampak cepat ‘pick up’ dari segi ‘step’ tarian mungkin dia kurang ada gangguan dan ketika latihan walaupun dia sendiri pun tidak berjumpa keluarganya,” katanya.
Sementara itu, kata Norman, kejayaan Konsert GenKRU menjadi platform untuk mereka teruskan karier seni.
“Kami juga banyak dapat peluang baru dan bermacan tawaran juga datang ketika ini.
“Konsert itu juga kami nafas baru dari segi penjenamaan korporat buat saya sendiri. Begitu juga Yusry dan Edry juga ada syarikat mereka sendiri.
“Pastinya peminat mahu kami teruskan aktiviti seni dan Insya-Allah, kami akan teruskan setakat mana yang mampu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




