Tambahan peruntukan program vaksinasi ambil kira pelbagai faktor

Tambahan peruntukan program vaksinasi ambil kira pelbagai faktor

PUTRAJAYA: Pertambahan peruntukan RM2 bilion kepada RM5 bilion bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah perlu setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya peningkatan kos perolehan vaksin COVID-19 dan perbelanjaan mengurus pelaksanaan program itu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata peruntukan RM5 bilion itu merangkumi RM3.5 bilion untuk perolehan dan logistik vaksin, RM333 juta (sewaan dan utiliti), RM260 juta (perkakasan, bekalan pakai habis dan pelaksanaan pemberian vaksinasi), dan RM100 juta untuk pembersihan dan sanitasi.

Peruntukan itu juga bagi pemberian sagu hati sukarelawan bukan kesihatan sebanyak RM200 juta, perbelanjaan integrasi data dan sistem janji temu (RM70 juta), Program Community Outreach dan Advokasi Vaksinasi (RM55 juta), saguhati sukarelawan kesihatan (RM147 juta), survelan pasca imunisasi dan naik taraf sistem (RM15 juta), penyumber luaran pengamal perubatan swasta (RM210 juta) dan kontigensi serta luar jangka sebanyak RM110 juta.

Beliau berkata, pada 23 Disember tahun lalu, kerajaan berjaya mendapatkan akses vaksin untuk 82.8 peratus populasi negara dari pelbagai pembekal dengan harga keseluruhan RM2.05 bilion.

“Mengambil kira risiko gangguan bekalan seperti sekatan eksport, bahan mentah, kapasiti pengilang dan kelulusan regulatori, jumlah 82.8 peratus itu ditingkatkan kepada 110 peratus dan diumumkan dalam Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang mana kos perolehan vaksin untuk 110 peratus populasi adalah RM3.16 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata, berikutan pengumuman daripada beberapa pembekal vaksin bahawa ujian klinikal sedang dijalankan untuk golongan remaja, kerajaan sudah membuat ketetapan awal untuk menambah lagi bekalan vaksin bagi pemberian kepada golongan tersebut apabila kelulusan diberi kelak.

Beliau berkata, kerajaan juga sudah mengambil ketetapan untuk memperoleh bekalan tambahan sebagai stok penimbal jika dos booster tambahan diperlukan.

“Justeru, walaupun buat masa ini harga perolehan dianggarkan pada RM3.16 bilion, ia bergantung kepada penambahan bekalan dengan mengambil kira pemberian vaksin untuk golongan remaja dan stok penimbal sehingga siling RM3.5 bilion ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

“Anggaran perolehan vaksin ini juga masih tidak muktamad. Contohnya, perjanjian kerajaan dengan pembekal seperti Gamaleya (Sputnik V) dan CanSino masih belum dapat dilaksanakan disebabkan vaksin tersebut masih dinilai oleh Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) dan belum didaftar,” katanya.

Beliau berkata, jika vaksin tersebut tidak mendapat kelulusan atau mengambil masa terlalu lama, kerajaan ada pilihan untuk tidak meneruskan perjanjian tersebut tanpa apa-apa implikasi kewangan.

Khairy berkata, beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sudah membentangkan perancangan pembelian vaksin COVID-19 dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 5 Januari lalu.

Katanya, dalam prosiding PAC tersebut, dokumen perjanjian pembelian vaksin COVID-19 sudah dibentangkan kepada ahli-ahli PAC dan susulan prosiding tersebut dan jawatankuasa itu berpuas hati dengan penjelasan dan keterangan yang dikemukakan oleh JKJAV.

“Kita bercadang untuk berkongsi dokumen perjanjian perolehan tambahan yang dibuat sejak Januari dengan PAC apabila diizinkan kelak,” katanya.

Mengenai baki peruntukan lain, Khairy berkata, ia digunakan untuk pelaksanaan program itu yang mana peruntukan untuk pelaksanaan program imunisasi itu juga akan disalurkan kepada semua kerajaan negeri.

Ia merangkumi kos sewaan and utiliti bagi lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di fasiliti bukan Kementerian Kesihatan (dewan orang ramai, stadium, tempat awam), perkakasan dan bekalan pakai habis, pembersihan dan sanitasi, saguhati sukarelawan dan penyumber luaran pengamal perubatan swasta. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top