Maut langgar lembu: 'Kami masih sedih pemergian mak, kini kehilangan adik pula'

Maut langgar lembu: 'Kami masih sedih pemergian mak, kini kehilangan adik pula'

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Tragedi akibat lembu berkeliaran di jalan raya kembali meragut nyawa — kali ini membabitkan seorang penghantar makanan yang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh haiwan itu di Kilometer 5, Jalan Lok Heng–Mawai, awal pagi tadi.

Mangsa, Arshad Khamis, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Lebih memilukan, kehilangan Arshad berlaku hanya dua bulan selepas pemergian ibunya yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang kronik pada minggu pertama Ramadan lalu.

“Kami masih bersedih dengan pemergian mak, kini kami kehilangan adik pula,” kata abangnya, Rais Khamis, 51, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), hari ini.

Menceritakan kejadian menimpa adiknya itu, Rais berkata, arwah yang juga anak keempat daripada sembilan beradik, dalam perjalanan pulang ke rumah mentuanya di Felda Lok Heng Barat ketika kemalangan berlaku.

“Dia dah lima tahun kerja sebagai penghantar makanan sekitar Bandar Penawar. Tak pernah terbabit kemalangan serius pun sebelum ini.

“Arwah kebiasaannya pulang sekitar 10 atau 11 malam, namun malam tadi kelibatnya tidak kelihatan sebelum ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian,” katanya.

Rais turut meluahkan kekesalan terhadap sikap tidak bertanggungjawab sesetengah penternak lembu yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran hingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

“Tak salah nak bela lembu, tapi bela betul-betul. Jangan sampai nyawa orang melayang. Isu lembu berkeliaran dekat jalan ini dah lebih 10 tahun.

“Setiap kali ada kemalangan, kita tag pihak berkuasa dalam Facebook, tapi lepas dua tiga hari senyap balik,” katanya.

Beliau berharap kematian adiknya menjadi kejadian terakhir melibatkan lembu berkeliaran di kawasan itu.

“Kita tak sangka benda yang selalu kita bising dalam media sosial, akhirnya jadi pada keluarga sendiri. Kami mohon sangat pihak berwajib ambil tindakan. Cukuplah setakat ini,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lok Heng Barat, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 pagi dan mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 maut di tempat kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top