
Pihak berkuasa turut mengarahkan pemindahan penduduk atau pekerja dari kawasan perindustrian berkenaan.
SEVILLE – Kira-kira 77,000 penduduk diarahkan untuk berada di dalam rumah susulan kebakaran di sebuah gudang bahan kimia di bandar Alcala de Guadaira, selatan Sepanyol, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pihak berkuasa tempatan menerusi kenyataan di platform X pada Rabu menggesa orang ramai supaya menutup pintu dan tingkap.
Bandar Andalusia itu terletak kira-kira 16 kilometer ke tenggara Seville. Bagaimanapun, angin yang bertiup dari arah barat dijangka membawa awan asap menjauhi bandar berkenaan.
Kebakaran di gudang yang terletak di kawasan perindustrian itu dilaporkan mencetuskan beberapa siri letupan. Rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap hitam tebal membumbung tinggi dari kawasan gudang.
Setakat ini, tiada laporan awal mengenai kecederaan akibat kebakaran dan letupan tersebut atau pendedahan kepada asap toksik. Punca kebakaran masih belum diketahui.
Pihak berkuasa turut mengarahkan pemindahan penduduk atau pekerja dari kawasan perindustrian berkenaan.
Risiko keracunan belum dapat dipastikan, namun pihak berkuasa menegaskan bahawa arahan untuk berada di dalam rumah itu adalah langkah berjaga-jaga. – Bernama