Stadium baharu Shah Alam, visi tujuh tahun Raja Muda Selangor

Stadium baharu Shah Alam, visi tujuh tahun Raja Muda Selangor

SHAH ALAM: Pembangunan semula stadium atau Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) tidak seharusnya terhad kepada aktiviti sukan semata-mata, sebaliknya ia perlu memanfaatkan seluruh rakyat dalam program pendidikan, seni dan budaya.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin bertitah, kompleks itu direka dengan menggabungkan pelbagai elemen dan ia merupakan visi baginda sejak tujuh tahun lalu yang akhirnya dapat direalisasikan pada hari ini.

Menurut baginda, ia dibina bagi manfaat rakyat dan masa depan tanpa meminggirkan nilai tradisional yang sekian lama menjadi identiti negeri ini.

“Ia merupakan sebahagian daripada asas pada KSSA yang baharu. Yang membawa beta selama tujuh tahun sebelum ia dapat direalisasikan. Ia bukan sekadar stadium, bahkan tempat untuk semua orang untuk bersama-sama terlibat dalam sukan, budaya, kesenian dan pendidikan. Itu adalah wajah Shah Alam yang akan dibawa pada masa hadapan dan dunia.

“Beta mengharapkan KSSA akan berdiri sama gah dengan lokasi ikonik di seluruh dunia seperti Queen Elizabeth Olympic Park, London; Melbourne Sports Precinct, Australia atau Marina Bay, Singapura. Buka setakat stadium, tetapi kehidupan yang dilakarkan dengan suara, warna dan impian,” titah baginda pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi Pembangunan Semula KSSA.

Pada program itu, Tengku Amir berkenan menyaksikan penyerahan surat tersebut antara Menteri Besar MBI (Pemerbadanan) (MBI Selangor) yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Saipolyazan M. Yusop dan Pengarah Urusan Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim.

MRCB melalui anak syarikatnya Lembaran Prospek Sdn. Bhd. dilantik sebagai pemaju bagi pembinaan semula projek tersebut yang bermula hari ini.

Raja Muda Selangor menambah, KSSA merupakan pembinaan infrastruktur dalam era baharu kemampanan pembangunan bandar apabila hab komuniti yang menjadi komponen utama dalam keseluruhan projek berintegrasi dengan pemulihan ekologi melalui penyelesaian bersaskan alam semula jadi.

“KSSA Park juga berintegrasi dengan pelan tebatan banjir Seksyen 13 oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang merupakan elemen strategik dalam pengurusan limpahan, pemulihan ekologi, peremajaan bandar serta pengurusan air yang mampan

“Ia dilengkapi dengan sistem mitigasi banjir bawah tanah yang canggih dan automatik sepenuhnya merangkumi kolam tadahan seluas empat hektar untuk mengurus limpahan air dan mengurangkan risiko banjir,” titahnya.

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapannya memberitahu, KSSA tidak boleh jadi seperti sebelum ini yang berfungsi sebagai stadium bola sepak.

“Kita melalui proses yang panjang dari segi penelitian kapasiti dan kemampuan berteraskan keperluan. Visi kami adalah untuk meletakkan stadium ini sebaris dengan stadium ikonik antarabangsa.

“Tidak seperti fasiliti terdahulu yang berfungsi terutamanya sebagai stadium bola sepak dan hanya digunakan kurang daripada 30 hari setahun, KSSA yang baharu sedang dibayangkan semula sebagai kawasan yang meriah dan pelbagai guna yang direka untuk kegunaan sepanjang tahun,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top