Nelayan terpaksa jual bot tampung kos rawatan kanser wajah

Nelayan terpaksa jual bot tampung kos rawatan kanser wajah

am@hmetro.com.my

Besut : Demi meneruskan kelangsungan hidup serta membiayai rawatan seorang pesakit kanser mengambil keputusan menjual bot yang menjadi punca utama rezeki keluarga sebelum ditimpa ujian kesihatan.

Muhamad Faizol Abdullah, 38, berkata, dia disahkan mengidap kanser wajah atau ‘right cheek rhabdomyosarcoma’ tahap empat, dua tahun lalu selepas terdapat ketumbuhan kecil di tepi hidung bahagian kanan.

“Sebelum jatuh sakit punca utama rezeki saya adalah nelayan menggunakan bot berkenaan, namun saya terpaksa menjualnya dengan harga RM3,000.

“Ketika peringkat awal doktor mengesahkan penyakit ini saya masih boleh keluar ke laut tetapi sekarang pergerakan semakin terbatas kerana bengkak pada bahagian muka semakin besar,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Beting Lintang, kelmarin.

Menurutnya, dia kini sedang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan dan perlu masuk ke wad selama seminggu setiap kali kemoterapi.

Katanya, rawatan susulan dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan akan kembali menjalani rawatan radioterapi di HUSM dijangka Julai nanti sebanyak 30 kali.

Muhamad Faizol berkata, berat badannya juga susut daripada 80 kilogram kepada 58 kilogram kerana tiada selera makan serta sukar untuk makan seperti biasa.

“Walaupun kanser ini sudah berada pada tahap empat namun saya tetap meletakkan harapan untuk kembali sembuh dengan melakukan pelbagai rawatan mengikut saranan doktor,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Nur Salmimi Mahmad Zulkepli, 33, berkata, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu memastikan suaminya mendapat rawatan mengikut jadual.

“Saya sekarang bekerja sebagai pembantu tukang masak namun tidak sepenuh masa kerana kerap mengambil cuti panjang apabila suami masuk hospital.

“Selepas suami sakit saya mengambil tanggungjawab untuk menyara keluarga serta empat anak berusia 15, 11, sembilan serta empat tahun,” katanya.

Katanya, suaminya menerima elaun bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak akhir tahun lalu, serta bantuan ‘one-off’ dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Orang ramai ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 1111841000061092 atas nama Muhamad Faizol Abdullah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top