rajamawar@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tindakan selebriti popular, Neelofa memuat naik gambar burger dalam laman Instagram (IG) Story miliknya menimbulkan salah faham apabila dituduh menyindir peniaga burger di Kota Bharu, Kelantan yang dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan berniaga melebihi had masa.
Menerusi gambar dimuat naik berserta kapsyen, ‘moreh burger malam ni meh’, netizen menganggap Neelofa sengaja mahu mengalihkan perhatian selepas melakukan kesalahan dan didenda.
Ini berikutan gambar berkenaan dimuat naik selepas Neelofa mengeluarkan kenyataan denda RM60,000 terhadap dirinya, suami, Haris Ismail dan ahli keluarganya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menyedari perkara itu menimbulkan salah faham, bekas pengacara MeleTOP itu memadam gambar yang dipercayai diperoleh menerusi enjin carian Google.
Wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu tampil memberi penjelasan, malah turut memuat naik bukti paparan skrin mesej perbualan mengenai hasratnya membantu peniaga itu menerusi IG Story.
Selain itu, Neelofa juga memuat naik petikan hadis berkaitan membantu orang dalam kesusahan.
Neelofa berkata, dia tidak berniat menyindir peniaga, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, sebaliknya berhasrat membantunya dengan ikhlas.
“Ya Allah, ramainya salah faham dan bersangka tidak baik. Sebelum saya memuat naik gambar itu, peguam saya sudah menghubungi abang burger itu.
“Kami juga sudah menghubungi pihak polis untuk bertanya mengenai kompaun yang dikenakan terhadapnya. Saya minta untuk bantu selesaikan bayarannya dengan izin Allah,” tulisnya di IG Story.
Terdahulu, isteri Wan Mohd Faisal, Norlaili mengesahkan menerima panggilan daripada peguam Neelofa pada jam 5.30 petang semalam memaklumkan selebriti popular itu mahu membayar jumlah kompaun dikenakan terhadap mereka.
Selain Neelofa, beberapa selebriti termasuk PU Azman dan Caprice juga berhasrat membantu mereka.
“Peguam Neelofa meminta saya menghubunginya semula sekiranya bersetuju menerima tawaran ini.
“Kami berterima kasih kepada Neelofa kerana sudi membantu kami, namun buat masa ini, saya dan suami mahu menunggu keputusan rayuan kompaun,” katanya kepada BH Online.
Semalam, Neelofa dikenakan kompaun RM20,000 yang tidak dibenarkan diskaun kerana melakukan dua kesalahan, manakala Haris pula didenda RM10,000 melakukan satu kesalahan.
Selain gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sewaktu majlis akad nikah, pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri diberikan pegawai diberi kuasa mengikut subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti berada di luar skop kebenaran diberikan polis.
Seramai 20 ahli keluarga Neelofa dikompaun RM1,500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung, bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd