Nahas FRU: KPWKM teliti bantuan JKM untuk waris

Nahas FRU: KPWKM teliti bantuan JKM untuk waris

mdroji@bh.com.my

Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti bantuan yang akan disalurkan kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Perak.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.

“Ketika ini kami sedang mengumpul maklumat mengenai bantuan yang sudah mereka terima termasuk bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami perlu melihat berapa banyak yang sudah diberikan, jadi kami perlu menyemak semula apa yang boleh disalurkan (menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat),” katanya ketika ditemui media selepas sidang media pelancaran promosi Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025, di sini, hari ini.

Nancy berkata, bantuan kaunseling turut disediakan, namun ia akan diberikan mengikut kesesuaian masa dan keperluan emosi keluarga semua mangsa.

“Kaunselor kami biasanya akan datang kemudian kerana keluarga mangsa kini masih sangat emosional.

“Kami tidak mahu mengganggu pada dua hari pertama kerana ketika itu, mereka masih bersedih dan memerlukan ruang untuk bertenang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top