Serbuan besar-besaran JIM di Jalan TAR, 143 Pati ditahan, premis kosong sekelip mata

Serbuan besar-besaran JIM di Jalan TAR, 143 Pati ditahan, premis kosong sekelip mata

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ratusan warga asing yang bekerja di sebuah pusat beli-belah ternama di Jalan Tunku Abdul Rahman bertempiaran selepas dikejutkan dengan serbuan Operasi Kutip (Op Kutip) oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, hari ini.

Meskipun serbuan dibuat di sekitar pusat beli-belah berkenaan, sebahagian warga asing yang bekerja di pusat beli-belah lain turut menghilangkan diri apabila dimaklumkan oleh rakan-rakan mengenai kehadiran pegawai JIM.

Wartawan Harian Metro yang menyertai operasi berkenaan turut mendapati beberapa lot perniagaan yang dipercayai dijaga oleh pekerja warga asing ditinggalkan kosong tanpa penjaga susulan kehadiran pegawai JIM.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Ambok Taha berkata, serbuan pada jam 2.30 petang itu dijalankan pegawai dan anggota JIM Putrajaya hasil aduan awam dan risikan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, seramai 964 orang telah diperiksa dalam operasi ini membabitkan 273 orang warga asing dan 691 orang warga tempatan.

“Daripada jumlah itu, seramai 143 pendatang asing tanpa izin (Pati) membabitkan 56 warga Indonesia, 26 warga Bangladesh, 32 warga Pakistan, masing-masing 10 warga India dan Myanmar, empat orang warga Syria, tiga orang warga Nepal dan seorang warga Afghanistan serta seorang warga China ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Semua mereka yang terdiri daripada 110 lelaki dan 33 wanita berusia 22 hingga 48 tahun akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas operasi terbabit di sini, hari ini.

Jafri berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak di iktiraf dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen.

Beliau berkata ketika serbuan dan pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat warga asing cuba melarikan diri dengan merempuh anggota serta melakukan provokasi sebaik menyedari kehadiran mereka sehingga menyukarkan proses tangkapan.

“Persekitaran yang sempit dan tidak teratur serta kehadiran pelanggan sehingga melambatkan proses pemeriksaan.

“Anggota operasi terpaksa membuat pemeriksaan menyeluruh di dalam kawasan kompleks perniagaan itu.

“Ada di antara warga asing yang bersembunyi di dalam bilik persalinan, ruang tersorok bawah tangga, tandas, bilik stor dan individu yang enggan membuka pintu, menyembunyikan warga asing dan menyorok dokumen penting yang melambatkan proses pemeriksaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan warga tempatan terutama sekali majikan untuk tidak menggaji atau melindungi Pati kerana boleh berdepan dengan tindakan tegas di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Sementara itu, Jafri berkata setakat 15 Mei lalu pihaknya melaksanakan pemeriksaan terhadap 67,574 orang menerusi 5,090 operasi di seluruh negara.

Katanya, menerusi operasi itu seramai 34,615 pendatang asing tanpa izin dan 680 majikan ditahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top