am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Allahyarhamah Norizah Tambunan Nordin, 47, berulang kali menyatakan hasratnya mahu menjejakkan kali sekali lagi ke Tanah Suci Makkah dan diketahui oleh keluarga dan rakan.
Hasrat Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Batu Pahat itu akhirnya tercapai apabila berpeluang menunaikan ibadah haji dan tiba di tanah suci semalam.
Namun wanita itu dilaporkan meninggal dunia di perkarangan Masjidil Haram.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, arwah adalah seorang jemaah dalam Rombongan Haji Kerajaan Johor (RKJ) yang tiba semalam.
“Dijemput datang sebagai tetamu, dijemput pergi di tanah suci… dalam ihram dan persiapan paling manis bertemu sang pencipta.
“Mewakili Kerajaan Johor saya mengucapkan takziah kepada waris Allahyarhamah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Seorang rakan Allahyarhamah yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah menyatakan, arwah sentiasa mendoakan supaya dapat menjejak kaki sekali lagi di Makkah.
“Kematian yang sangat dicemburui oleh kami. Kami difahamkan arwah pulang kepada pencipta pada jam 7 pagi waktu sana.
“Arwah adalah insan yang terpilih kerana meninggal dunia pada pagi Jumaat di tanah suci, semoga syurga buatmu sahabat,” katanya.
Difahamkan jenazah sudah disemadikan di Tanah Perkuburan Sharayaa 64, Makkah.
Norizah dilaporkan memulakan tawaf sekitar jam 6.20 pagi dan kelihatan keletihan dan berhenti berehat beberapa kali semasa menuju ke Masjidil Haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd




