UniSZA larang sementara aktiviti air selepas 2 pelajar lemas dalam seminggu

UniSZA larang sementara aktiviti air selepas 2 pelajar lemas dalam seminggu

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengeluarkan arahan rasmi agar semua pelajar menangguhkan sebarang aktiviti air termasuk rekreasi di sungai, pantai dan air terjun buat sementara waktu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, pihak universiti amat dukacita dan sedih atas pemergian dua orang pelajar dalam kejadian lemas yang berlaku dalam tempoh seminggu di kawasan air terjun.

Menurutnya, kejadian tragis ini amat menyentuh hati seluruh warga universiti dan pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Pihak pengurusan universiti mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengeluarkan arahan rasmi supaya semua pelajar menangguhkan sebarang aktiviti air.

“Ia termasuk rekreasi di sungai, pantai, air terjun, dan kawasan seumpamanya buat sementara waktu, sehingga satu makluman lanjut dikeluarkan pihak universiti,” katanya.

Menurutnya, langkah ini adalah demi keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta warga kampus secara keseluruhan.

Katanya, universiti juga akan mempergiatkan usaha memperkukuh kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar dan staf, termasuk sesi taklimat dan bengkel berkaitan pengurusan risiko ketika beraktiviti luar kampus.

Dua mangsa yang juga pelajar UniSZA terbabit dalam kejadian lemas di Hutan Lipur Lata Changkah dan Hutan Lipur Lata Payung, Sungai Tong, Setiu, dalam tempoh seminggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top