Giro d'Italia 2025 – Ulissi rampas 'Maglia Rosa'

Giro d'Italia 2025 – Ulissi rampas 'Maglia Rosa'

Tuscany(Itali): Selepas empat tahun menanti, akhirnya seorang pelumba Itali berjaya merangkul jersi merah jambu Maglia Rosa dalam perlumbaan berprestij Giro d’Italia apabila Diego Ulissi dari pasukan XDS Astana muncul sebagai pemimpin keseluruhan selepas tamat pusingan kelapan.

Ulissi, 35 tahun, yang juga pelumba berpengalaman dengan lapan kemenangan peringkat dalam sejarah Giro, menunjukkan semangat juang luar biasa walaupun hanya menamatkan tempat ketiga pada pusingan itu.

Kejayaannya itu berjaya merampas jersi Maglia Rosa daripada Primoz Roglic dari Slovenia, dengan kelebihan tipis 12 saat mengatasi rakan sepasukan, Lorenzo Fortunato.

“Bila saya diberitahu saya memiliki Maglia Rosa dan melihat cap XDS Astana di jersi itu, saya tidak dapat menahan rasa terharu.

“Saya fikirkan keluarga saya terutama mereka yang menyokong saya sejak kecil,” kata Ulissi dalam sidang media selepas perlumbaan.

Pusingan itu dimenangi pelumba Australia, Luke Plapp, yang berkayuh solo 45 kilometer terakhir untuk meraih kemenangan peringkat sulungnya dalam Grand Tour. Ulissi tamat 38 saat di belakang Plapp namun berjaya mengatasi Wilco Kelderman yang berada di tempat kedua.

Ulissi juga mengakui menguruskan jurang masa dengan baik adalah strategi tepat supaya tidak tertekan ketika perlumbaan berlangsung.

“Ini pengalaman pertama saya memakai Maglia Rosa. Saya akan cuba pertahankannya walaupun pusingan ke-9 di Tuscany sangat mencabar,” tambahnya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top