Saya datang ke Zepp Kuala Lumpur, Jumaat lalu tanpa sebarang perasan. Sejujurnya, sebelum ini saya hanya tahu dua lagu Nadin Amizah, ‘Bertaut’ dan ‘Rayuan Perempuan Gila’. Satu lagi lagu ‘Amin Paling Serius’ duet antara Nadin dan Sal Priadi.
Itu pun kerana lagu-lagu itu kerap lalu di media sosial dan saya suka liriknya yang agak berbeza. Tapi malam itu, tanpa disangka, saya pulang sebagai seorang peminat, bukan sekadar jalur muziknya, tetapi terbit rasa kagum dengan cara Nadin menyampaikan cerita melalui suara, bahasa dan kejujuran seninya.
‘Malam Mendengar’ bukan persembahan biasa. Ia adalah sebuah pengalaman emosi yang dikarang dengan susunan muzik orkestra yang mendalam dan puitis. Dengan iringan 40 pemuzik orkestra dari Jakarta, malam itu terasa seperti duduk dalam dunia yang hanya dipenuhi perasaan.
Setiap lagu dibawa dalam turutan yang dirancang rapi, seolah-olah Nadin mengajak seisi Zepp Kuala Lumpur yang padat dengan peminat melalui perjalanan hidupnya yang penuh warna warni, luka, rindu, cinta, kehilangan dan penerimaan.

Showcase dimulakan dengan Sorai, disusuli lagu-lagu seperti Semua Aku Dirayakan, Di Akhir Perang, Rumpang dan Teralih Kekal. Ia terus bergerak mengikut turutan senarai lagu yang memberi kesan tersendiri.
Waktu Bertaut dimainkan, terbit rasa sebak dalam jiwa. Liriknya yang dulu saya dengar secara sambil lalu, tiba-tiba terasa sangat dekat apabila disampaikan dengan susunan orkestra yang penuh rasa. Apabila diamati, lagu yang menghargai pengorbanan ibu ini cukup bermakna.
Lirik seperti “keras kepalaku sama denganmu” dan “nyawaku nyala kerana denganmu” menggambarkan segala emosi dan kekuatan yang anak warisi daripada ibunya. Ia menjadikan lagu ini bukan sahaja sebagai surat cinta seorang anak, tetapi juga cerminan mengenai bagaimana kasih ibu sentiasa bertaut dalam hidup dan jiwa zuriatnya.
Begitu juga dengan ‘Rayuan Perempuan Gila’ yang kedengaran jauh lebih berani dan menyentuh dari versi rakaman. Lagu ini mengajar kita untuk menghargai diri sendiri. Saya pernah terbaca informasi mengenai lagu ini. Naskhah ini wujud untuk mengangkat suara hati seorang perempuan yang pernah dilabel ‘gila’ oleh pasangannya, namun tetap cuba memahami dan menerima dirinya seadanya.

Selepas mendengar secara ‘live’, tidak hairanlah lagu ini mempunyai kelompok peminat yang ramai. Ia merupakan sebuah lagu yang menggambarkan pergolakan jiwa yang merasakan diri sendiri tidak layak untuk dicintai, sering dihantui rasa rendah diri dan keraguan. Nadin menjadikan karya ini sebagai simbol keberanian individu untuk bangkit dan merangkul luka sebagai sebahagian daripada proses penerimaan diri.
Apa yang paling saya hargai ialah bagaimana Nadin tidak cuba menjadi orang lain di atas pentas. Dia tidak berlebihan dan menjadi diri sendiri. Nadin menyanyi seakan menyampaikan kisah dan membiarkan lirik dan muzik itu sendiri berbicara. Dalam lagu seperti ‘Hormat Kepada Angin’, ‘Cermin’ dan ‘Bunga Tidur’, suasananya begitu hening, seolah-olah penonton semua terpaku untuk menikmati muzik yang disampaikan.
‘Mendarah’ merupakan antara lagu paling menyentuh emosi dalam persembahan Nadin Amizah. Apabila ia dibawakan secara langsung dengan iringan orkestra, impaknya benar-benar mendalam. Lagu ini membawa tema kehilangan, dipercayai merujuk kepada kehilangan insan yang dicintai yang disampaikan Nadin dengan tenang tetapi penuh rasa, seolah-olah berbicara secara peribadi kepada setiap hati yang hadir.

Saya yang tidak pernah langsung mendengar lagu ‘Mendarah’ sebelum ini terdiam dan terpaku kerana terpegun ketika menikmati karya yang Nadin sampaikan. Liriknya sarat dengan metafora tentang kerinduan dan memori yang masih segar dalam ingatan, manakala susunan muzik yang syahdu seolah-olah membalut luka yang masih belum sembuh.
Kawan saya yang turut hadir bersama, tidak mampu menahan air mata kerana terkenangkan arwah bapanya. Ia bukan sekadar lagu, tetapi luahan jiwa yang menjadi ruang untuk kita mengenang, merindui dan berdamai dengan kehilangan.
Showcase diakhiri dengan ‘Sorak Sorai’, satu penutup yang sempurna untuk malam penuh emosi. Dalam diam, saya sedar saya bersama penonton lain tidak hanya mendengar muzik malam itu. Kami mendengar seseorang yang berani menceritakan dirinya dengan cara paling lembut, paling jujur dan paling menyentuh.
Saya datang tanpa ekspektasi, tetapi saya pulang sebagai seorang peminat. Mungkin itu keindahan sebenar ‘Malam Mendengar Nadin Amizah’.




