suliati@hmetro.com.my
UNIVERSITI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencipta sejarah apabila sekumpulan pelajarnya meraih naib juara bagi kategori Open Challenge: Presentation, Q&A and Demonstration of Robots’ Unique Capability dalam Pertandingan AI Robotik, RoboCup Japan Open 2025 anjuran RoboCup Japan Regional Committee, baru-baru ini.
Bukan itu saja, pertandingan berprestij berlangsung di Shiga Daihatsu Arena, Jepun itu juga menyaksikan pasukan Kamerider Ascension yang terdiri daripada pelajar tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) iaitu Muhammad Luqmanul Hakeem Ramli, Mohammad Fahmi Mohammad Sahir, Muhammad Mustaqim Jamaluddin dan Muhammad Syahmi Aiman Mohd Ali turut meraih tempat ketiga dalam kategori Overall/Bridge Competition Education League.
Kejayaan yang cukup bermakna itu disokong penguasaan teknologi terkini seperti sistem AI Vision berasaskan Large Language Model (LLM), yang membolehkan robot memahami pertuturan dan video seperti manusia, setanding dengan keupayaan teknologi seperti ChatGPT.
Selain itu, pelajar yang dibimbing Profesor Madya Dr Abu Ubaidah Shamsudin dan Dr Mimi Faisyalini Ramli itu juga menggunakan Robot Operating System (ROS) untuk kawalan pergerakan robot serta model bahasa VOSK bagi kefahaman dan pertuturan, sekali gus memperkukuh lagi kemampuan sistem robotik mereka.
Platform robot mudah alih yang digunakan dikenali sebagai Jupiter Robot, hasil kerjasama dengan Malaysia AI Robotics Society (Mars) dan pengarahnya, Profesor Dr Jeffrey Tan Too Chuan.
Dekan FKEE UTHM, Profesor Dr Asmarashid Ponniran turut menyifatkan pencapaian itu sebagai cerminan keberkesanan ekosistem TVET dan inisiatif Global, Resilience, Innovative, Trustworthy dan Talent (GRITT) dalam melahirkan graduan berdaya saing, inovatif dan bersedia menggalas cabaran teknologi masa depan.
Katanya, pencapaian itu juga bukan sekadar satu kejayaan, tetapi ia adalah lambang kebangkitan pelajar Malaysia di persada dunia robotik.
“Pelajar UTHM berjaya membuktikan bahawa dengan ilmu, inovasi dan semangat juang tinggi, mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan menghasilkan solusi teknologi yang setanding piawaian global.
“Ini mencerminkan budaya fakulti yang menekankan daya saing, kepimpinan dan kerjasama berpasukan.
“Kejayaan ini juga perlu dijadikan inspirasi bahawa anak muda Malaysia mampu berjaya di arena global dan bersedia sebagai jurutera masa hadapan yang akan memacu dunia dengan teknologi dan kecerdasan buatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
