Vape: Siapa untung? Siapa pula rugi?

Vape: Siapa untung? Siapa pula rugi?

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain industri rokok elektronik atau vape di negara ini memohon kerajaan negeri mempertimbang semula larangan penjualan produk berkenaan.

Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA) Datuk Adzwan Ab Manas berkata, larangan penjualan vape bercanggah dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Menurutnya, ini kerana akta berkenaan bertujuan memperkenal kawal selia yang menyeluruh dan berkesan terhadap vape dan bukan larangan mutlak.

“Larangan menjual vape bukan kaedah terbaik mengelak penggunaan oleh golongan bawah umur termasuk wanita.

“Sebaliknya, pelaksanaan peraturan ketat seperti yang digariskan Kerajaan Persekutuan lebih praktikal dan bertanggungjawab.

“Industri komited mematuhi semua peraturan ditetapkan termasuk had umur pembelian diperketatkan, penjualan di premis berlesen mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produk berdaftar dan berlabel dengan amaran kesihatan serta larangan iklan promosi menyasarkan remaja,” katanya.

Mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada 17 April lalu bahawa 65 peratus produk vape mengandungi dadah, Adzwan mendakwa statistik terbabit merujuk kepada jumlah rampasan dalam operasi polis yang menyasarkan sindiket dadah, bukan daripada premis sah yang menjual produk vape berdaftar.

“Maka, ia tidak wajar dijadikan asas menggubal dasar atau melaksanakan larangan menyeluruh.

“Kerajaan harus sedar masalah utama timbul berkaitan produk vape sering berpunca daripada penyalahgunaan produk tidak sah, bukan produk yang didaftarkan dan dikawal selia KKM.

“Justeru, penyelesaian bukanlah melalui larangan, tetapi melalui pendidikan, penguatkuasaan dan kolaborasi,” katanya.

Beliau mendakwa produk vape mengandungi dadah sintetik seperti mushroom dan THC tidak dijual di kedai vape berdaftar, sebaliknya diperoleh di pasaran gelap.

Justeru, katanya, sesuatu yang tidak wajar apabila kedai vape dilarang menjual oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“MRECA sudah laporkan penjualan dadah secara terang-terangan di platform dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), namun iklan masih berleluasa di Facebook.

“Kawal selia akan menjadi lebih mudah jika ada data pekedai yang terlibat.

“Selain itu, tindakan seperti menarik balik lesen boleh dilakukan jika ada bukti sahih berlakunya penjualan vape kepada bawah umur atau melanggar syarat ditetapkan KKM,” katanya.

Menurutnya, mana-mana produk vape hendak dijual dalam pasaran disyaratkan mendapat kelulusan pendaftaran daripada KKM terlebih dahulu dan proses terbabit masih berjalan.

Katanya, kawal selia ketat merangkumi aspek keselamatan pengguna daripada segi kandungan bahan digunakan dan juga cara pembungkusan yang termaktub dalam Akta 852.

“Justeru, pihak industri vape berharap KKM dapat percepatkan proses kelulusan pendaftaran produk apabila pihak industri (vape) sudah menyerahkan segala butiran diperlukan.

“Namun proses kelulusan beberapa kali ditangguhkan KKM tanpa alasan.

“Kelambatan proses ini menyulitkan lagi kawal selia dijalankan terhadap penjualan produk vape tidak sah di pasaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top