Rafizi ibarat sedang bakar kelambu

Rafizi ibarat sedang bakar kelambu

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keagresifan ditonjolkan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam beberapa siri kempen bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR kali ini, tidak tumpah seperti ‘marahkan nyamuk habis kelambu dibakar’.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, menyifatkan cara berkempen Rafizi dalam usaha mempertahankan jawatan nombor dua parti dilihat mengundang reaksi atau persepsi tidak baik.

Ini kerana, Tze Tzin yang bertanding jawatan Naib Presiden PKR merasakan pendekatan ‘menyerang’ dan menghebohkan isu dalaman parti kepada umum oleh Ahli Parlimen Pandan itu, suatu tindakan yang tidak wajar.

Sebaliknya, beliau menitipkan nasihat kepada Menteri Ekonomi itu supaya menyelesaikan sebarang isu terkait parti secara tertib menerusi libat urus dalaman sebagai satu keluarga.

“Pada pendapatan saya, cara Rafizi berkempen agresif dan mungkin tidak dapat diterima oleh ramai ahli parti. Sebabnya, ahli parti ini macam keluarga. Walaupun keluarga ada (dalam kalangan) yang tidak bersetuju (dengan cara Rafizi).

“Jadi apa yang berlaku dalam keluarga Kita selesaikan dalam keluarga. Bila dihebohkan di luar, ia akan mengundang respon tidak baik,” katanya semalam.

Dalam tempoh kempen berbaki kurang empat hari lagi, Tze Tzin tidak menolak Rafizi akan sesekali ‘berdamai’ sebaliknya berterusan menggarap pendekatan menyerang.

Tidak seperti seorang lagi calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar, beliau berkata anak sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu lebih kepada tidak menyerang lawan atau sesiapa saja.

“Jadi saya nampak Nurul Izzah menggunakan pendekatan damai. Dia tidak menyerang balik. Dia telan saja.

“Buat masa sekarang saya nampak kempen Rafizi akan terus macam itu (agresif). Nasib baik tempoh berkempen (pemilihan PKR pusat) pendek bukan panjang. Ada (lebih kurang) lima hari lagi.

“Saya mengharapkan kawan baik saya iaitu Rafizi selaku rakan seperjuangan supaya kembali kepada asas…Kenapa kita sertai parti ini? Kita sertai parti ini sebab hendak lakukan perubahan.

“Dalam perjuangan ini memang ada banyak naik dan turun. Memang banyak cabaran. Kalau boleh, kembalilah sebagai satu pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top