am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berlaku lonjakan kes perisian tebusan atau ‘ransomware’ menghampiri 80 peratus yang direkodkan pada suku keempat tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Perisan tebusan adalah satu bentuk pemerasan digital di mana penggodam menyulitkan data mangsa sama ada individu, syarikat atau institusi dengan minta wang sebagai tebusan bagi memulihkannya.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo mendedahkan bahawa data CyberSecurity Malaysia (CSM) mengakui lonjakan kes itu menunjukkan trend amat membimbangkan.
Sehubungan itu, beliau menuntut tindakan tuntas dan bersepadu bagi membanteras jenayah siber dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, perkembangan dunia siber yang semakin canggih dilihat membuka ruang dan peluang berlakunya jenayah dalam talian dengan lebih kerap.
“Ancaman siber masa kini semakin canggih dan merentasi sempadan. Serangan ransomware, kebocoran data dan penipuan berasaskan siber semakin meningkat dari segi kekerapan serta kerumitan.
“Menurut data dari CSM, berlaku peningkatan 78 peratus kes pada suku keempat 2024 berbanding suku sebelumnya. Satu trend yang amat membimbangkan.
“Realiti ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk tindakan bersepadu merentasi sempadan bagi memerangi jenayah siber,” katanya.
Teks ucapan Singh Deo sewaktu perasmian Cyber Games 2025 tadi dibacakan oleh Ketua Setiausahanya, Fabian Bigar.
Acara Cyber Games 2025 yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan bagi melatih peserta untuk meningkatkan kemahiran jenayah siber mereka dengan membabitkan diri dalam latihan kehidupan sebenar, menyelesaikan jenayah siber praktikal, bukti digital, maklumat sumber terbuka (OSINT) dan ancaman keselamatan siber.
Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam disertai lebih 120 peserta dari 40 negara, antara Brazil, Turkiye, Albania, Singapura, Switzerland, United Kingdom (UK) termasuk Malaysia.
Menurut Singh Deo, penganjuran Cyber Games 2025 sejajar dengan pendekatan strategik Malaysia dalam menangani jenayah siber selain dapat memperkukuhkan dasar keselamatan siber negara.
“Ini termasuk usaha berterusan kami dalam melaksanakan langkah-langkah kukuh dan kerangka undang-undang bagi melindungi infrastruktur digital serta memperkasakan kerjasama serantau serta antarabangsa dalam menangani ancaman siber.
“Ini termasuk kelulusan Jemaah Menteri baru-baru ini untuk menyertai Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber, serta komitmen kami untuk menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa BERSATU (PBB) yang akan datang mengenai jenayah siber.
“Pada masa yang sama, kami sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd