am@hmetro.com.my
Jeli: Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, penyeludup disyaki menggunakan kenderaan mewah Toyota Vellfire untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati).
Namun taktik itu gagal apabila sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli dengan kerjasama Pasukan Polis Kontinjen Kelantan menahan dua lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ dan 15 warganegara asing di daerah ini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, operasi dilakukan hasil maklumat risikan yang kemudian mengesan dan menahan sebuah Toyota Vellfire dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut menahan dua lelaki tempatan berusia 24 dan 31 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan warga asing.
“Turut ditahan dalam kenderaan ialah 15 warga asing iaitu 10 lelaki dan lima wanita berusia 20 hingga 43 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke IPD Jeli untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pemerdagangan orang dan imigresen.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam membanteras jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiatkan tindakan pencegahan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




