Pekebun rugi, beruang matahari ceroboh, rosakkan kebun pisang

Pekebun rugi, beruang matahari ceroboh, rosakkan kebun pisang

am@hmetro.com.my

Jerantut: Pekebun di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, di sini, kerugian hampir RM3,000 selepas kebun pisang nangkanya diceroboh dan dirosakkan beruang matahari dipercayai keluar dari hutan berhampiran.

Pekebun, Japron Ali, 65, berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak dia mula menanam pisang nangka kira-kira sembilan bulan lalu.

“Serangan haiwan liar itu menyebabkan sebanyak 30 pokok pisang musnah, termasuk buah yang sudah hampir masak dan sedia dipasarkan.

“Pagi tadi semasa sampai di kebun, saya lihat batang, daun dan buah rosak teruk. Batang pokok dicakar dan dipatahkan manakala buah pisang bertaburan di tanah, dipercayai dimakan beruang matahari,” katanya di sini, hari ini.

Japron berkata, kejadian dipercayai bermula sejak empat hari lalu dan semakin kerap apabila beruang itu menceroboh dua malam berturut-turut kerana kawasan kebunnya terletak berhampiran pinggir hutan.

“Saya menanam kira-kira 1,300 pokok pisang nangka di tanah seluas kira-kira satu hektar sejak Jun tahun lalu dan sebahagian hasilnya sudah dipasarkan kepada peraih.

“Pisang nangka yang dirosakkan sudah matang dan boleh dijual. Satu tandan di pasaran antara RM70 hingga RM80, apabila 30 pokok rosak, saya rugi hampir RM3,000,” katanya.

Katanya, dia juga bimbang keselamatan diri dan pekebun lain yang sering masuk ke kebun pada waktu petang untuk mengutip hasil disebabkan kawasan pertanian berhampiran hutan.

“Saya harap pihak berkuasa seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) boleh ambil tindakan segera kerana bukan saja tanaman malah keselamatan kami pun turut terancam.

“Kejadian ini memerlukan pemantauan lebih kerap serta penilaian risiko oleh pihak berwajib khususnya di kawasan pertanian yang terletak berhampiran kawasan hutan simpan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top