Tanah Merah: Setiap hari, lebih 100 keluarga di Kampung Peralla 1 di sini, memulakan rutin harian dengan satu harapan iaitu air tandak dari bukit yang menjadi sumber utama mereka, tidak kering.
Tanpa kemudahan bekalan air paip seperti dinikmati penduduk di kawasan lain, mereka bergantung sepenuhnya kepada sistem saluran air buatan sendiri yang dibina secara gotong-royong menggunakan dana dan tenaga penduduk kampung.
Pengerusi Air Tandak Kampung Peralla 1, Azhar Zakaria berkata, sistem berkenaan diwujudkan selepas bekalan air daripada Air Kelantan Sdn Bhd yang diterima sebelum ini sering terganggu dan tidak menentu.
“Kadang-kadang air ada, kadang-kadang tiada, tapi bil mencecah RM100 sebulan. Jadi kami sepakat bina sistem tandak sendiri, gunakan sumber mata air dari bukit, dialirkan ke tangki besar dan seterusnya ke rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Namun, beliau berkata usaha itu bukan mudah kerana setiap kali hujan, sistem sering terganggu apabila daun dan pasir masuk ke dalam tandak manakala ketika musim kemarau pula, air kering sepenuhnya.
Azhar berkata, mereka terpaksa mendaki bukit sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali sebulan bagi membersih dan membaiki sistem saluran air tersebut.
Menurutnya, kos untuk melakukan kerja-kerja pembersihan boleh mencecah RM200 bagi setiap kali pendakian, sedangkan majoriti penduduk hanya bekerja sebagai penoreh getah dan buruh binaan.
“Mereka bergilir-gilir menyumbang wang demi memastikan sistem air kampung ini terus berfungsi. Kami bukan orang senang, tapi demi keperluan anak isteri, kami usahakan juga. Air tandak ini pun tidak selamat diminum, jadi kami masih terpaksa beli air mineral untuk kegunaan harian,” katanya.
Peniaga makanan, Nik Salleh Muhammad berkata, kos membeli air botol untuk kegunaan perniagaannya boleh mencecah RM500 sebulan.
“Kalau tiada air bersih, kedai saya tak boleh beroperasi. Sekarang sudah 2025, ada kampung yang menikmati Internet berkelajuan tinggi, tapi kami di sini nak dapat air bersih pun masih perlu daki bukit,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama ke lokasi mendapati sistem tandak dibina dengan paip PVC dan saluran konkrit dari kawasan bukit ke sebuah tangki simpanan air yang ditempatkan di bahagian atas kampung.
Tangki berkenaan kemudiannya menyalurkan air ke lebih 100 rumah melalui rangkaian paip yang disambung secara manual oleh penduduk.
Di kawasan tandak, kelihatan beberapa penduduk sedang membersihkan saluran tersumbat akibat daun dan lumpur.
Laluan ke kawasan tadahan itu juga agak curam dan licin, memaksa penduduk memikul sendiri peralatan seperti cangkul, paip ganti dan penapis air untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
Beberapa penduduk turut menzahirkan harapan agar satu sistem bekalan air lebih mampan dapat diwujudkan dengan bantuan kerajaan, termasuk pemasangan sistem penapisan air lebih selamat serta saluran paip utama ke kampung mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd