Pengarah animasi tersohor Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), Usamah Zaid Yasin mengakui berdepan tekanan dan kebimbangan menjelang tayangan sekuel yang amat dinantikan itu, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula Khamis ini.
Usamah, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, bagaimanapun kekal optimis bahawa EATM2 mampu melangkaui pencapaian filem pertama yang meraih kutipan sebanyak RM30 juta yang menetapkan sasaran lebih tinggi berjumlah RM60 juta.
“Secara peribadi, saya percaya dunia dan watak-watak dalam Ejen Ali mempunyai potensi yang luar biasa. Namun, saya bukan jenis yang terlalu yakin melulu. Kejayaan filem pertama pastinya meletakkan jangkaan tinggi untuk sekuel ini, dan jika tidak mencapai harapan tersebut, memang mudah untuk rasa kecewa.
“Apa yang saya harapkan, filem kali ini dapat menyentuh hati penonton serta menerima maklum balas dan kritikan yang membina,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai proses pembikinan, Usamah mendedahkan idea menghasilkan sekuel ini mula tercetus sebaik sahaja sambutan memberangsangkan diterima oleh filem pertama, sekitar tahun 2020.
“Selepas perbincangan bersama Media Prima, kami mula merangka draf awal skrip sekitar 2020. Namun, pandemik COVID-19 memberi cabaran yang besar. Ketika industri terhenti sementara, kami menumpukan usaha untuk menghasilkan musim ketiga siri animasi Ejen Ali melalui kerjasama bersama Disney+ All Star.
“Kami hanya menyimpang seketika, tetapi idea asal masih dikekalkan. Cuma kami memperluaskan penceritaan, menjadikannya sebagai jambatan kepada babak penting sebelum Ali menjadi Satria,” jelasnya ketika ditemui usai tayangan perdana di IOI City Mall, Putrajaya malam tadi.
Tambah Usamah, penulisan skrip filem kali ini memberikan cabaran yang berbeza berbanding menghasilkan siri animasi, yang cenderung lebih ringkas.
“Menulis untuk filem ini adalah pengalaman baharu buat kami. Berbeza dengan siri yang berdurasi pendek, filem menuntut pembangunan cerita yang lebih kompleks. Selepas kejayaan luar jangka filem pertama, kami tertanya-tanya ‘adakah itu sekadar nasib?’ Maka untuk filem kedua, kami benar-benar bekerja keras,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Usamah tidak menafikan tekanan sebagai pengarah filem animasi yang dinanti-nantikan ramai, lebih-lebih lagi apabila perlu bersaing dengan tayangan filem-filem lain di pawagam.
“Tekanan tetap ada, tapi saya anggap ia sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pengkarya. Penonton kini lebih bijak dan terbuka dalam menyokong karya tempatan. Kalau ada dua filem bagus ditayangkan serentak, mereka pasti beri peluang kepada kedua-duanya.
“Kita memiliki ramai anak tempatan berbakat besar dalam bidang animasi, dan saya berharap filem ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri animasi tempatan,” katanya.
Dijadualkan menemui penonton bermula 22 Mei 2025, Ejen Ali The Movie 2 menjanjikan aksi yang lebih mendebarkan serta penceritaan yang lebih mendalam dan imersif.
Filem ini merupakan terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions.