Sydney: Pemandu simpanan pasukan Alpine, Jack Doohan, memohon agar gangguan terhadap keluarganya dihentikan selepas satu hantaran palsu di media sosial yang dikatakan datang daripada bapanya tular secara meluas.
Doohan, anak kepada legenda MotoGP dan juara dunia lima kali, Mick Doohan, digugurkan daripada barisan pelumba utama selepas hanya enam perlumbaan musim ini dan digantikan oleh pemandu Argentina, Franco Colapinto.
Namun satu hantaran palsu yang menggelikan hati berhubung insiden Colapinto terbabas ketika sesi kelayakan Grand Prix Emilia Romagna minggu lalu penampilan sulungnya sejak menggantikan Doohan mencetuskan kemarahan.
“Mesej yang tersebar itu jelas sekali palsu,” kata Doohan menerusi media sosial.
“Mereka menyunting kandungan asal untuk kelihatan seperti ia ditulis oleh ayah saya, sedangkan itu langsung tidak benar.
“Tolong hentikan gangguan terhadap keluarga saya. Saya tak sangka ia sampai ke tahap begini.”
Pada awalnya, Doohan menyalahkan peminat Argentina atas penyebaran hantaran palsu itu, namun kemudian menarik balik kenyataan selepas individu yang bertanggungjawab tampil memohon maaf dan memadamkan gambar berkenaan.
Colapinto sebelum ini turut menyeru peminat agar lebih menghormati pelumba lain selepas insiden dia secara tidak sengaja menghalang pelumba Red Bull, Yuki Tsunoda, dalam sesi latihan bebas Jumaat lalu di Imola.
Tsunoda kemudiannya menerima pelbagai kecaman, majoritinya dalam bahasa Sepanyol, menyebabkan pelumba Jepun itu menyuarakan kebimbangan dan mencadangkan agar pihak penganjur Formula Satu mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan di platform dalam talian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




