JIM laksana operasi setiap hari banteras Pati

JIM laksana operasi setiap hari banteras Pati

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur semakin agresif dengan melaksanakan 272 operasi sejak Januari sehingga 20 Mei, membabitkan tangkapan 1,789 pendatang asing tanpa izin (Pati).

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi dijalankan setiap hari tanpa gagal kerana penguatkuasaan adalah keutamaan jabatan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sepanjang operasi itu, seramai 3,587 individu diperiksa, manakala 68 majikan tempatan dan asing dikenakan tindakan kerana menggaji atau melindungi Pati,” katanya pada sidang media, di Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu berjaya menghasilkan kutipan kompaun keseluruhan mencecah RM4.59 juta.

“Sebanyak 1,551 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas.

“Tangkapan tertinggi yang direkodkan membabitkan warga Indonesia, diikuti Bangladesh, Myanmar dan Pakistan,” katanya.

Mengulas berhubung Program Repatriasi Migran 2.0, Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya mencatatkan penyertaan 96 warga asing bagi tempoh dua hari.

“Kutipan hasil menerusi program itu berjumlah RM26,840 membabitkan kompaun dan bayaran pas khas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top