Kempen istimewa Kool 101 x Ejen Ali Studio Takeover menjadi satu kolaborasi strategik yang menggabungkan dunia penyiaran radio dan kehebatan filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2).
Melalui kempen ini, Kool 101 diumumkan sebagai Home of Ejen Ali yang menjadi hab rasmi bagi segala aktiviti promosi filem EATM2.
Menerusi kerjasama ini, Kool 101 mengangkat kandungan tempatan yang menyatukan keluarga dan memupuk semangat cintakan hasil kreatif negara.
Antara tarikan utama ialah inisiatif “Studio Takeover”, di mana keseluruhan ruang studio Kool 101 menjalani transformasi lengkap, dihiasi visual, warna dan suasana yang membawakan dunia Ejen Ali terus ke udara.
Paparan skrin LED dan latar digital direka khas sebagai simbol sinergi kreatif antara dua jenama, yang bukan sahaja memperkasakan naratif filem tetapi juga memperkukuh ikatan strategik antara Kool 101 dan Ejen Ali.
Menurut Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin, dia teruja mengadakan promosi menerusi radio, terutamanya Kool 101.
“Bila kita masuk radio, tahap tenaga penyampai sangat tinggi dan saya rasa keterujaan itu mampu disampaikan terus kepada penonton.
“Promosi melalui radio ini membuka ruang kepada kumpulan audien yang mungkin tidak selalu terdedah kepada Ejen Ali,” katanya,
Usamah hadir bersama penyanyi legenda, Datuk M. Nasir serta barisan pelakon suara latar filem tersebut di studio Kool 101, Media Prima Audio, Balai Berita Bangsar, pagi tadi.
EATM2 juga terus mencuri tumpuan dengan kehadiran maskot rasmi Ejen Ali ke studio Media Prima Audio untuk sesi interaksi secara langsung.
Para peminat berpeluang menikmati perkongsian eksklusif di sebalik tabir serta mengenali lebih dekat watak dan dunia Ejen Ali yang kian berkembang.
Segmen di udara Kool 101 sepanjang kempen ini juga menampilkan temu bual khas bersama individu penting di sebalik tabir francais ini, termasuk para pelakon suara dan tenaga kreatif utama.
Sementara itu, Datuk M. Nasir turut berkongsi pengalamannya menyanyikan runut bunyi untuk filem yang dinanti-nantikan itu.
Menambah keterujaan, semua kandungan digital Kool 101 kini tampil dengan intro bertemakan Ejen Ali, termasuklah penjenamaan semula platform media sosial mereka.
Pendengar dan pengikut media sosial Kool 101 boleh menikmati pelbagai kandungan seperti rakaman temu bual, reaksi masa nyata, serta video di sebalik tabir kempen promosi ini.
Menariknya, pasukan lapangan Media Prima Audio, Hot FM Zoomerz, akan tampil dengan identiti baharu iaitu Ejen Zoomerz sebagai tanda solidariti dan semangat bersama dalam menjayakan kempen filem EATM2.
Kempen Kool 101 x Ejen Ali Studio Takeover bukan sahaja mempromosi filem tempatan, malah menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat-bakat tempatan yang menjadikan Ejen Ali satu jenama animasi kebanggaan negara.
Ia turut mencerminkan komitmen Kool 101 untuk terus menjadi medium penyatu generasi menerusi kandungan mesra keluarga dan berteraskan budaya bersama.
Dengan pendekatan yang segar dan pelbagai saluran promosi termasuk radio, media sosial dan aktiviti fizikal, Kool 101 membuktikan bahawa kolaborasi kreatif seperti ini mampu mencipta impak besar dalam memartabatkan industri hiburan tempatan.




